Jerman catat rekod 15,800 kematian akibat cuaca panas

Foto AFP

BERLIN, 27 Ogos – Sebanyak 15,800 kematian akibat cuaca panas direkodkan di Jerman pada musim panas ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Golongan umur lebih 75 tahun paling terjejas, kira-kira 9,600 kematian direkodkan dalam seminggu akhir Jun ketika suhu melebihi 40°C.
  • Kira-kira 4,000 kematian berkaitan haba direkodkan antara akhir Julai hingga pertengahan Ogos.
  • Cuaca panas dan kemarau meluas meningkatkan kematian, kebakaran hutan, kemusnahan tanaman dan penyusutan paras air sungai utama di Eropah.
  • Kerajaan bincang adaptasi iklim tanpa langkah baharu; 100 bilion euro dijangka, kumpulan alam sekitar gesa undang-undang dan penanaman pokok.

Menurut Institut Kesihatan Awam Robert Koch (RKI),ia angka tertinggi pernah dicatatkan ketika Eropah berdepan siri gelombang haba melampau tahun ini.

Golongan berusia lebih 75 tahun merupakan kumpulan paling terjejas, dengan kira-kira 9,600 kematian direkodkan dalam tempoh seminggu pada akhir Jun, ketika suhu di beberapa kawasan negara itu melebihi 40 darjah Celsius.

RKI berkata, kira-kira 4,000 lagi kematian berkaitan cuaca panas direkodkan antara akhir Julai hingga pertengahan Ogos.

Cuaca panas dan kemarau turut melanda sebahagian besar Eropah musim panas ini, mencetuskan peningkatan kematian berkaitan haba, kebakaran hutan, kemusnahan tanaman serta penyusutan paras air di sungai-sungai utama.

Perancis, Britain dan Sepanyol turut melaporkan ribuan kematian berlebihan akibat cuaca panas sepanjang musim panas.

Menurut RKI, jumlah tahun ini jauh mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 8,900 kematian pada 2018, manakala satu laporan penerbitan perubatan menganggarkan sekitar 10,000 kematian akibat cuaca panas berlaku pada 1994.

RKI menganggarkan kematian berkaitan haba menggunakan kaedah statistik dengan membandingkan jumlah kematian pada minggu musim panas yang dilanda gelombang haba dengan minggu tanpa gelombang haba.

Cuaca panas melampau boleh menyebabkan kematian akibat strok haba, namun kebanyakan kes berlaku apabila suhu tinggi memburukkan keadaan kesihatan sedia ada seperti penyakit kardiovaskular, paru-paru dan buah pinggang.

Perubahan iklim dan langkah menyesuaikan diri dengan cuaca panas turut menjadi antara agenda dalam mesyuarat Kabinet Jerman selama dua hari yang dipengerusikan Canselor Friedrich Merz minggu ini, namun tiada langkah baharu diumumkan.

Merz berkata, 16 negeri di Jerman bertanggungjawab terhadap perlindungan daripada cuaca panas dan dijangka menerima 100 bilion euro (AS$116 bilion) dalam tempoh 12 tahun akan datang menerusi dana khas infrastruktur dan perlindungan iklim.

Sementara itu, kumpulan Environmental Action Germany mengkritik kerajaan kerana didakwa gagal mengambil langkah berkesan susulan musim panas ekstrem yang mengorbankan ribuan nyawa.

Kumpulan itu menggesa perubahan undang-undang dan peningkatan peruntukan bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengurangkan permukaan berturap yang menyimpan haba serta meningkatkan penanaman pokok di kawasan bandar.

Pengarah kumpulan berkenaan, Barbara Metz, memberi amaran bahawa musim panas akan datang dijangka lebih panas dan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan bandar kekal selamat dan sesuai didiami.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.