
PONTIANAK, 27 Ogos – Jerebu tebal akibat kebakaran hutan menyelubungi bandar Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia hari ini, menyebabkan jarak penglihatan merosot, operasi penerbangan terjejas dan penduduk bimbang terhadap risiko kesihatan.
- Peningkatan mendadak titik panas di Kalimantan Barat, dipacu musim kering, menandakan kebakaran lebih meluas.
- Penduduk bimbang terhadap kesihatan; kanak-kanak mengalami batuk berterusan dan keluarga takut penyakit merebak.
- Asap kebakaran sering menjejaskan kawasan di Kalimantan dan Sumatera; risiko kesihatan awam meningkat jika pencemaran berlarutan.
Keadaan itu semakin membimbangkan susulan peningkatan mendadak titik panas kebakaran di seluruh wilayah berkenaan, terutama ketika Indonesia berdepan musim kering.
Penduduk, Amelia Supit, 33, berkata keadaan jerebu menimbulkan kebimbangan khususnya terhadap kesihatan kanak-kanak.
“Saya bimbang kami semua akan jatuh sakit seorang demi seorang,” katanya sambil memaklumkan anak saudaranya mengalami batuk berterusan sejak dua minggu lalu meskipun telah menerima rawatan.
Seorang lagi penduduk, Novi Rahayu, berkata keadaan jerebu ketika ini adalah yang terburuk pernah dialaminya sepanjang 35 tahun menetap di Pontianak.
Agensi meteorologi Indonesia memaklumkan jarak penglihatan di beberapa kawasan di Kalimantan Barat susut kepada kurang satu kilometer pada awal pagi sejak dua hari lalu, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan.
Indonesia sememangnya kerap berdepan kebakaran hutan dan tanah gambut ketika musim kering, dengan asap daripada kebakaran terbabit lazimnya menjejaskan penduduk di beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera.
Keadaan itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap kesan jerebu kepada kesihatan awam sekiranya episod pencemaran udara berlarutan.-Reuters