Jepun pelbagaikan sumber minyak mentah perkukuh bekalan tenaga

Fasiliti penyimpanan minyak Jepun/ AFP

TOKYO, 11 Jun – Jepun berjaya mengekalkan jumlah import minyak mentah pada Julai pada paras sama seperti tahun lalu meskipun konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jepun mempelbagaikan sumber minyak dari Amerika Syarikat, Amerika Latin, Asia Pasifik, Asia Tengah, Afrika dan Kanada.
  • Eksport minyak dari Amerika Syarikat meningkat sehingga 10 kali ganda, membantu mengurangkan kebergantungan terhadap satu rantau.
  • Kekurangan bekalan mentah menjejaskan industri tempatan, termasuk pengeluaran dakwat, plastik dan bekalan perubatan.
  • Perdana Menteri akan menghadiri mesyuarat G7, dengan isu keselamatan tenaga menjadi fokus perbincangan pemimpin.

Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata, kejayaan itu dicapai hasil usaha negara tersebut mempelbagaikan sumber bekalan minyak daripada pelbagai negara pengeluar.

Jepun sebelum ini bergantung kepada Asia Barat bagi lebih 90 peratus import minyak, namun kini telah memperluas rangkaian bekalan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap satu rantau.

Menurut Takaichi, eksport minyak dari Amerika Syarikat meningkat sehingga 10 kali ganda, selain Jepun turut memperoleh bekalan daripada beberapa negara pengeluar lain.

“Selain Amerika Syarikat, yang menghantar bekalan dari Alaska minggu lalu, import turut diperoleh dari Amerika Latin, rantau Asia Pasifik, Asia Tengah dan Afrika, serta yang terbaharu dari Kanada.

“Kami terus mencatat kemajuan dalam usaha mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah,” katanya dalam mesyuarat khas bersama anggota kabinet pada Khamis.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa minyak mentah dari Mexico dijadual tiba buat kali pertama pada Julai ini.

Ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan laluan perkapalan utama di Selat Hormuz mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia.

Situasi itu turut menyebabkan kekurangan bekalan minyak dan produk berkaitan di Jepun, sekali gus menjejaskan pelbagai sektor industri.

Syarikat tempatan juga dilaporkan berdepan kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan produk seperti dakwat, plastik dan bekalan perubatan.

Takaichi turut memaklumkan beliau akan berlepas ke Eropah hujung minggu ini untuk menghadiri mesyuarat Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis.

Isu keselamatan tenaga akan menjadi antara fokus utama perbincangan bersama pemimpin negara anggota G7 memandangkan kesan ekonomi akibat konflik di Asia Barat semakin dirasai, khususnya di rantau Asia.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.