
WASHINGTON, 8 Januari -Wakil Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan pertemuan dengan Denmark minggu depan susulan ketegangan berhubung Greenland.
- Wakil AS akan mengadakan pertemuan dengan Denmark minggu depan untuk membincangkan isu Greenland secara langsung.
- Marco Rubio enggan mengesahkan sama ada pilihan ketenteraan akan diketepikan dalam perbincangan tersebut.
- Rubio tekankan presiden AS sentiasa mempunyai pilihan untuk bertindak jika wujud ancaman keselamatan negara.
- Minat Washington terhadap Greenland lama wujud dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu NATO.
Menurut Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pertemuan tersebut akan menjadi ruang untuk membincangkan isu berkenaan secara langsung.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada pilihan ketenteraan akan diketepikan.
“Saya akan bertemu dengan mereka minggu depan. Perbincangan itu akan dibuat ketika pertemuan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Capitol Hill.
Rubio turut menjelaskan bahawa setiap presiden AS sentiasa mempunyai pilihan untuk bertindak sekiranya wujud ancaman terhadap keselamatan negara, walaupun diplomasi kekal menjadi pendekatan utama.
“Jika presiden mengenal pasti ancaman kepada keselamatan negara Amerika Syarikat, setiap presiden mempunyai pilihan untuk menanganinya,” jelasnya.
Beliau menambah, minat Washington terhadap Greenland bukan perkara baharu dan pernah dipertimbangkan oleh beberapa presiden terdahulu, termasuk pada era Perang Dingin.
Presiden Donald Trump sebelum ini berulang kali menyatakan hasrat untuk mendapatkan kawalan ke atas wilayah itu atas kepentingan strategik dan keselamatan.
Isu berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu NATO, khususnya berhubung implikasi terhadap hubungan keselamatan dan diplomatik serantau. -REUTERS