Wanita ditembak mati ejen ICE di AS

Anggota Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat berkumpul di Minneapolis, Minnesota/Foto REUTERS

ISTANBUL, 8 Januari – Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) maut pada Rabu selepas ditembak oleh ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) semasa satu operasi penguatkuasaan di bandar Minneapolis, mencetuskan percanggahan keterangan antara pihak berkuasa tempatan dan persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai DHS kata wanita cuba melanggar ejen dengan kenderaan, mendorong satu ejen melepaskan tembakan mempertahankan diri.
  • Rakaman menunjukkan ejen berdiri di hadapan SUV sebelum beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan.
  • Datuk Bandar Jacob Frey dan Gabenor Tim Walz menolak penjelasan persekutuan, menuntut penyiasatan dan mengkritik tindakan ICE.
  • Kepolisian Minneapolis kata wanita bukan sasaran penguatkuasaan dan siasatan kini dikendalikan polis bersama FBI dan pihak negeri.
  • Hampir 2,000 ejen persekutuan dikerah ke Minnesota dalam operasi imigrasi yang kontroversi selepas video tular berkaitan pusat asuhan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkata wanita kulit putih berusia 37 tahun itu – yang identitinya belum didedahkan – cuba melanggar pegawai dengan kenderaannya, menyebabkan seorang ejen melepaskan tembakan dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai tindakan mempertahankan diri.

Bagaimanapun, pegawai tempatan mempertikaikan kenyataan itu, dengan Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey berkata beliau telah meneliti rakaman video kejadian dan menolak dakwaan bahawa tembakan itu wajar, sambil menyifatkannya sebagai penggunaan kekerasan secara melulu. Beliau menuntut supaya ejen imigresen persekutuan meninggalkan bandar itu.

Rakaman di media sosial menunjukkan seorang ejen ICE berdiri di hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) wanita berkenaan ketika kenderaan itu bergerak ke hadapan, sebelum ejen itu melepaskan beberapa das tembakan.

“Seorang pegawai kami bertindak pantas untuk mempertahankan diri, melepaskan tembakan bagi melindungi dirinya serta orang di sekelilingnya,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dalam satu kenyataan, sambil melabelkan insiden itu sebagai “tindakan keganasan domestik” dan menambah bahawa wanita itu terkena tembakan dan meninggal dunia.

Jurucakap DHS, Tricia McLaughlin, berkata di platform X bahawa pegawai ICE sedang menjalankan operasi bersasar apabila “perusuh” mula menghalang mereka dan “seorang daripada perusuh menjadikan kenderaannya sebagai senjata”.

Seorang pegawai ICE “menggunakan latihannya dan menyelamatkan nyawanya sendiri serta rakan-rakan pegawai,” katanya, sambil menambah bahawa pegawai yang cedera dalam insiden itu dijangka pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, Gabenor Minnesota Tim Walz menyokong pandangan datuk bandar, menyifatkan keterangan DHS mengenai insiden itu sebagai “propaganda”.

“Negeri akan memastikan satu siasatan penuh, adil dan segera dijalankan bagi memastikan akauntabiliti dan keadilan,” katanya di platform X.

Frey berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian tembakan itu dan menuduh ejen penguatkuasaan imigresen persekutuan mencetuskan “huru-hara” di bandar berkenaan.

“Kami menuntut ICE meninggalkan bandar ini serta-merta. Kami berdiri teguh bersama komuniti imigran dan pelarian,” katanya di X.

Frey kemudian memberitahu pemberita bahawa campur tangan persekutuan ke dalam negeri itu tidak mewujudkan keselamatan seperti yang didakwa pentadbiran Trump, sebaliknya membawa “kesan sebaliknya”.

Sementara itu, Ketua Polis Minneapolis Brian O’Hara berkata wanita itu, yang ketika itu menghalang jalan, bukan sasaran bagi sebarang aktiviti penguatkuasaan.

Beliau memberitahu pemberita bahawa sekurang-kurangnya dua das tembakan dilepaskan ke arah mangsa selepas seorang pegawai menghampirinya secara berjalan kaki dan kenderaan itu mula bergerak.

O’Hara berkata lokasi kejadian kini dikendalikan oleh Jabatan Polis Minneapolis dan siasatan dijalankan bersama oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Tangkapan Jenayah Minnesota.

Pentadbiran Trump telah mengerahkan hampir 2,000 ejen persekutuan ke Minnesota dalam tindakan keras berterusan terhadap imigrasi tanpa dokumen sah susulan dakwaan amalan penipuan di beberapa pusat asuhan kanak-kanak selepas satu video yang tidak disahkan tular di media sosial.

Pegawai Minnesota menolak dakwaan itu, sambil menyatakan bahawa kemudahan berkenaan telah diperiksa dan beroperasi mengikut peraturan negeri. – BERNAMA-ANADOLU