
LONDON, 8 Januari – Delegasi Ukraine dan Amerika Syarikat mengadakan satu lagi pusingan rundingan di Paris pada Rabu bagi membincangkan penyelesaian kepada konflik hampir empat tahun antara Ukraine dan Russia.
- Rundingan di Paris menumpukan kepada rangka asas untuk menamatkan perang antara Ukraine dan Russia.
- Delegasi Ukraine diketuai Rustem Umerov, hadir bersama utusan AS Steve Witkoff dan Jared Kushner.
- Perbincangan membincangkan bentuk penglibatan masa depan pemimpin Ukraine, rakan Eropah dan Amerika Syarikat.
- Zelensky berkata rundingan dengan sekutu Barat kini pada tahap baharu, dengan kemungkinan kemajuan besar menjelang separuh pertama 2026.
Menurut laporan media antarabangsa, ia merupakan pertemuan ketiga dalam tempoh dua hari antara wakil kedua-dua negara di ibu negara Perancis itu.
Ketua delegasi rundingan Ukraine, Rustem Umerov berkata, beliau menyertai sesi berkenaan bersama utusan Amerika Syarikat Steve Witkoff serta menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.
Rundingan itu dilaporkan memberi tumpuan kepada rangka asas bagi menamatkan perang, termasuk kemungkinan bentuk penglibatan masa depan antara pemimpin Ukraine, rakan Eropah dan Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky semasa lawatan ke Cyprus pada Rabu berkata, perbincangan dengan sekutu Barat kini berada pada tahap baharu.
Beliau berkata Ukraine, bersama rakan Eropah, Amerika Syarikat dan Coalition of the Willing atau Gabungan Negara Sukarela sedang bekerjasama ke arah penyelesaian, sambil menyatakan kemungkinan kemajuan besar dicapai menjelang separuh pertama 2026 ketika Cyprus memegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah.