
BEIRUT, 28 Mac -Tentera Israel melancarkan semula serangan ke atas pinggir selatan Beirut pada Jumaat dengan menyasarkan infrastruktur Hezbollah, ketika kumpulan itu mendakwa berlaku pertempuran langsung dengan tentera Israel di selatan Lubnan.
- Agensi PBB dan ICRC memberi amaran krisis kemanusiaan semakin meruncing, orang awam terus menjadi mangsa utama konflik.
- Lebih 1,100 terbunuh dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal sepanjang bulan ini, menambah tekanan kepada perkhidmatan kecemasan.
- Israel bergerak ke bandar selatan Lubnan hingga Sungai Litani untuk mewujudkan zon keselamatan menolak Hizbullah dan lindungi utara Israel.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan satu serangan Israel di kawasan Tahouitet al-Ghadir di selatan Beirut, dengan satu lagi serangan tanpa amaran pada hari sama mengorbankan dua individu.
Serangan susulan turut dilaporkan di beberapa lokasi lain di selatan Beirut, kawasan kubu kuat Hezbollah yang kini hampir kosong selepas arahan pemindahan dan serangan berterusan.
Tentera Israel memaklumkan mereka telah memulakan gelombang serangan menyasarkan infrastruktur Hezbollah di Beirut, selain mengeluarkan amaran pemindahan kepada beberapa kawasan di pinggir selatan.
Serangan turut dilaporkan di selatan dan timur Lubnan, termasuk di Kfar Tibnit yang mengorbankan seorang petugas paramedik selepas ambulans diserang.
Kementerian Kesihatan Lubnan turut memaklumkan enam maut, termasuk tiga kanak-kanak, dalam serangan di Saksakiyeh, manakala seorang wanita hamil kembar terbunuh dalam serangan di wilayah Bekaa.
Hizbullah mendakwa telah melancarkan beberapa serangan balas, termasuk menembak peluru berpandu darat-ke-udara ke arah pesawat perang Israel di ruang udara Beirut.
Di selatan Lubnan, kumpulan itu mendakwa berlaku pertempuran jarak dekat dengan tentera Israel di Bayada dan Shamaa.
Tentera Israel pula mendakwa menemui senjata termasuk peluru berpandu antikereta kebal di sebuah sekolah di Khiam, bandar sempadan strategik yang menjadi lokasi pertempuran berulang.
Dalam pada itu, Israel kini dilaporkan mara ke beberapa bandar di selatan Lubnan bagi mewujudkan zon keselamatan hingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan, bagi menolak Hezbollah dan melindungi komuniti di utara Israel.
Jurucakap tentera Israel, Effie Defrin, berkata Hizbullah masih aktif melancarkan serangan dari selatan Lubnan, dan memberi amaran bahawa jika kerajaan Lubnan gagal melucutkan senjata kumpulan itu, tentera Israel akan bertindak.
Dalam masa sama, Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR memberi amaran negara itu berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dan berisiko menjadi bencana besar.
Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan lebih 1,100 orang terbunuh dan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal sepanjang bulan ini.
Wakil UNHCR di Lubnan, Karolina Lindholm Billing, menyifatkan keadaan sebagai “amat membimbangkan” dengan risiko bencana kemanusiaan yang nyata.
Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa ( ICRC) memberi amaran situasi semakin merosot, dengan orang awam terus menjadi mangsa utama konflik.
Pengarah serantau ICRC, Nicolas Von Arx, menegaskan orang awam mesti dilindungi sama ada mereka kekal di rumah atau terpaksa melarikan diri. – AFP