Israel mahu padam isu Palestin daripada agenda dunia – Erdogan

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di Ankara / Foto AFP

ANKARA, 13 Ogos – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menuduh Israel cuba menyingkirkan isu Palestin daripada agenda dunia dengan mengambil kesempatan daripada kekacauan dan konflik baharu di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Erdogan menegaskan Turkiye akan terus memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin.
  • Beliau menuduh kerajaan Netanyahu melakukan "genosid" di Gaza dan dasar perluasan wilayah di Tebing Barat, Lubnan dan Syria.
  • Presiden Abbas tiba di Ankara dan pertemuan bersama Erdogan disifatkan penting serta membuahkan hasil.
  • Abbas umum pilihan raya legislatif 28 November dan presiden awal tahun hadapan; Erdogan sambut baik berharap perkuatkan proses perdamaian.

Erdogan berkata, usaha berkenaan tidak akan berjaya kerana perjuangan rakyat Palestin akan terus mendapat sokongan masyarakat antarabangsa.

“Matlamat kerajaan Netanyahu adalah untuk menyingkirkan Palestin daripada agenda bersama manusia dengan mengambil kesempatan daripada kekacauan dan konflik baharu di rantau ini,” katanya pada sidang media bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di Ankara pada Rabu.

Beliau turut menegaskan Turkiye akan terus memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin.

Erdogan yang lantang menyokong perjuangan Palestin sebelum ini berulang kali mengkritik kerajaan Netanyahu serta menuduh Perdana Menteri Israel itu melakukan “genosid” di Gaza dan mengamalkan dasar perluasan wilayah di Tebing Barat, Lubnan, Syria serta kawasan lain.

Sementara itu, Abbas tiba di Ankara pada Selasa bersama penasihat diplomatiknya, Majdi Khalidi, Ketua Perisikan Palestin, Majed Faraj serta pegawai kanan Palestin, Ziad Abu Amr.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Erdogan pada Rabu bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau itu yang disifatkan Abbas sebagai “penting dan membuahkan hasil”.

Bulan lalu, Abbas yang berusia 90 tahun mengumumkan pilihan raya legislatif Palestin akan diadakan pada 28 November, diikuti pilihan raya presiden pada awal tahun depan.

Jika pilihan raya legislatif itu berlangsung, ia akan menjadi pilihan raya seumpamanya yang pertama dalam tempoh dua dekad.

Erdogan menyambut baik keputusan berkenaan dan berharap pilihan raya legislatif serta presiden itu dapat membantu memperkukuh proses perdamaian antara kumpulan politik Palestin.

“Harapan saya, keputusan mengadakan pilihan raya legislatif dan presiden Palestin selepas sekian lama akan membawa kebaikan serta memajukan proses perdamaian,” katanya.

Sementara itu, Abbas turut menyambut baik perjanjian pertahanan yang dimeterai Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan pada 7 Ogos, yang disifatkannya sangat penting dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.