Trump dakwa AS kuasai sepenuhnya Selat Hormuz

Selat Hormuz/ REUTERS

WASHINGTON, 13 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa negara itu kini mempunyai “kawalan penuh” ke atas Selat Hormuz dan akan terus mengekalkan kawalan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mendakwa Tentera Laut AS menjalankan operasi pembersihan periuk api dan menguasai laluan perairan Selat Hormuz sepenuhnya.
  • Qatar menyokong rundingan Oman dan menggesa formula persefahaman untuk menjamin keselamatan serta mengelakkan Selat Hormuz jadi alat ugutan politik.
  • Iran dan Oman adakan rundingan konstruktif; akan tubuhkan mekanisme keselamatan pelayaran, urus isu alam sekitar, perkhidmatan maritim dan pencegahan jenayah.

Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Rabu, Trump berkata sekatan laut AS di laluan strategik itu sebelum ini disifatkan sebagai “tembok kuat”, selain mendakwa Iran tidak mempunyai keupayaan untuk mencabarnya.

Dalam kenyataan kepada pemberita di White House pada Isnin, Trump mendakwa tentera AS telah melakukan operasi membersihkan periuk api di seluruh Selat Hormuz, selain Tentera Laut AS kini menguasai sepenuhnya laluan perairan berkenaan.

Walaupun Iran menegaskan Washington perlu memenuhi tuntutan sebelum Selat Hormuz dibuka semula, Trump mendakwa laluan itu “sebenarnya sudah terbuka”.

“Amerika Syarikat kini satu-satunya pihak yang mengawal Selat Hormuz,” katanya.

Trump turut mendakwa Iran masih meletakkan periuk api dari semasa ke semasa, namun tentera AS akan menjalankan operasi pembersihan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari pada Selasa berkata Iran sedang menyediakan teks pengumuman berhubung rundingan berterusan dengan Oman.

“Delegasi Iran memaklumkan bahawa mereka sedang menyediakan teks pengumuman yang akan dibuat,” katanya pada sidang media mingguan.

Beliau berkata rundingan antara Iran dan Oman masih diteruskan, sambil menegaskan keutamaan utama adalah membuka semula Selat Hormuz serta memastikan sokongan terhadap proses rundingan.

Qatar turut menyokong “sebarang formula persefahaman” yang dapat menjamin keselamatan Selat Hormuz dan menghalangnya daripada dijadikan alat untuk ugutan politik.

Iran dan Oman telah mengadakan rundingan sejak akhir Julai berhubung aturan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Pada Isnin, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata rundingan itu berlangsung secara “lancar dan konstruktif”.

Menurutnya, beberapa mekanisme akan diwujudkan bagi memastikan keselamatan pelayaran, menangani isu alam sekitar, menyediakan perkhidmatan maritim serta membanteras kegiatan jenayah di selat berkenaan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.