
BEIRUT, 7 Ogos – Israel dalam rundingan pada Khamis terus berdegil apabila menolak untuk berundur dari lebih banyak kawasan di selatan Lubnan sehingga tentera Lubnan memperoleh kawalan penuh terhadap dua “zon perintis” awal, menurut sumber pejabat Presiden Lubnan kepada AFP.
- Rundingan pusingan ketujuh di Rom, Itali, dimediasi AS bertujuan menamatkan permusuhan antara Israel dan Hizbullah.
- Perbincangan belum menghasilkan keputusan muktamad mengenai pelaksanaan "zon perintis".
- Perjanjian rangka Jun menggariskan pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat Israel, dan penempatan tentera Lubnan di dua zon awal.
- Tentera Lubnan dikerahkan 21 Julai ke sebuah kampung di selatan serta memperkukuh kehadiran di zon perintis kedua; senarai negara penyelia dipersetujui.
Pusingan ketujuh rundingan antara Lubnan dengan Israel yang diadakan di Rom, Itali bawah perantaraan Amerika Syarikat (AS) bermatlamat menamatkan permusuhan antara Israel dengan kumpulan pejuang Hizbullah yang menjadi medan konflik kedua dalam perang di Asia Barat.
Sumber berkenaan memberitahu bahawa rundingan tersebut belum menghasilkan keputusan muktamad berhubung “zon perintis” berkenaan.
Walaupun prospek daripada Beirut dilihat suram, namun seorang jurucakap Jabatan Negara AS memaklumkan AFP bahawa rundingan itu membuahkan hasil.
Pada Jun lalu, Israel dan Lubnan mencapai perjanjian rangka kerja yang melibatkan pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan bermula di dua “zon perintis”.
Tentera Lubnan mula dikerahkan pada 21 Julai ke sebuah kampung di selatan negara itu, yang kawasan pinggirnya sebelum ini dikawal oleh tentera Zionis dan merupakan salah satu daripada dua “zon perintis” awal.
Tentera Lubnan turut memperkukuhkan kehadirannya di zon perintis kedua sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan perjanjian berkenaan.
“Lubnan berminat untuk bergerak ke kawasan baharu, manakala pihak Israel bertegas mahu mengesahkan pelaksanaan di dua zon pertama sebelum meneruskan ke peringkat seterusnya,” kata sumber Lubnan itu.
Pegawai AS pula mendakwa, kedua-dua pihak kini semakin hampir mencapai persetujuan mengenai perkara yang perlu dilakukan untuk memajukan dan memperluaskan proses zon perintis.
Sumber Lubnan itu turut memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai berhubung satu senarai pendek negara yang mungkin akan menyelia pelaksanaan perjanjian berkenaan. – AFP