Israel dakwa tawan ketua keselamatan Hamas dalam operasi di Gaza

Gaza terus dibedil tentera rejim Israel setiap hari – Foto AFP

GAZA CITY, 2 September – Israel mendakwa menawan seorang pemimpin Hamas dalam operasi darat di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Israel dan agensi Shin Bet mendakwa individu itu cuba mengukuhkan kawalan Hamas di utara Gaza dan melancarkan serangan terhadap anggota IDF.
  • Serentak operasi darat, Israel melancarkan serangan yang mengakibatkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita maut, menurut agensi pertahanan awam dan hospital.
  • Hamas mengecam operasi itu dan menghubungi pengantara serta Nickolay Mladenov berhubung pelan gencatan senjata yang dimeterai Oktober.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menerusi satu kenyataan berkata, individu yang ditahan merupakan ketua pasukan keselamatan Hamas di Gaza, tanpa memberikan butiran lanjut.

Media Israel menamakan individu berkenaan sebagai Muein al-Arabid.

Dalam pada itu, tentera Israel dan agensi keselamatan Shin Bet menerusi kenyataan bersama mendakwa kononnya, individu itu baru-baru ini berusaha mengukuhkan kawalan organisasi Hamas di utara Gaza serta melancarkan serangan terhadap anggota pasukan pertahanan Israel (IDF).

“Individu berkenaan telah dibawa ke Israel untuk disoal siasat.

“Serentak dengan operasi darat itu, Israel turut melancarkan beberapa sasaran di kawasan berkenaan bagi menghapuskan ancaman terhadap tenteranya, ” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, saksi mendakwa berbelas-belas serangan dilancarkan pada pagi Selasa di bahagian barat Gaza City.

Agensi pertahanan awam wilayah itu memaklumkan, tiga kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh, yang menurut media Palestin merupakan isteri Arabid.

Hospital Al-Shifa di Gaza City mengesahkan jumlah korban yang dilaporkan agensi pertahanan awam, yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat bawah Hamas.

Rakaman AFP selepas serangan menunjukkan mayat dua kanak-kanak yang dibalut kain kapan dibawa melalui jalan raya, berhampiran serpihan kenderaan yang musnah.

Wafika al-Helou memberitahu AFP bahawa sebuah kenderaan berhenti di tengah jalan sebelum melepaskan tembakan secara rambang ke kiri dan kanan selama lebih 15 minit, yang disifatkannya sebagai keadaan “mengerikan”.

Seorang lagi saksi, Mutaz Abu Asr, berkata beliau mendengar bunyi tembakan dan dron, selain mendakwa lebih lima serangan berlaku dalam tempoh kurang tiga minit.

Dalam satu kenyataan, Hamas mengecam operasi jenayah itu dan memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan para pengantara dan Nickolay Mladenov, wakil kanan bagi Gaza bawah Lembaga Keamanan”yang disokong Amerika Syarikat dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelan gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.