Risiko kesihatan di Gaza meningkat menjelang musim hujan – WHO

Penduduk Palestin masih menjalani kehidupan yang daif di Gaza yang hampir hancur dibedil Israel – Foto AFP

GENEVA, 2 September – Musim hujan yang bakal tiba berisiko memburukkan lagi krisis kesihatan awam di Gaza, ketika sebahagian besar penduduk kini tinggal dalam khemah yang sesak, dikelilingi runtuhan dan sistem kumbahan yang melimpah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kualiti air merosot ketara sejak beberapa bulan, meningkatkan risiko pencemaran mikrobiologi.
  • Ujian kira-kira 6,700 sampel antara Januari dan Ogos menunjukkan pencemaran mikrobiologi hampir tiga kali ganda.
  • Kapasiti makmal terhad menyebabkan banyak bahan pencemar dan patogen tidak dapat dikesan.
  • Kes cirit-birit akut hampir berganda sejak Mac, memberi impak kepada puluhan ribu penduduk.

Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, sambil memaklumkan bahawa kualiti air yang disalurkan kepada penduduk telah merosot dengan ketara sejak beberapa bulan lalu, manakala kes cirit-birit pula meningkat mendadak.

“Masalah utama ketika ini adalah pencemaran air, terutama apabila penduduk masih tidak menerima bekalan air pada kuantiti minimum yang diperlukan,” menurut wakil WHO di wilayah Palestin, Reinhilde Van de Weerdt.

Beliau berkata, ujian terhadap kira-kira 6,700 sampel air dalam tempoh lapan Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan pencemaran mikrobiologi hampir meningkat tiga kali ganda.

“Hasil ujian mendapati kadar pencemaran meningkat daripada kurang enam peratus pada Januari kepada lebih 18 peratus pada Ogos.

“Kekurangan kapasiti makmal di Gaza menyebabkan ujian berkenaan tidak dapat mengesan semua bahan pencemar yang berkemungkinan terdapat dalam air dan persekitaran, ” kata Van de Weerdt kepada pemberita di Geneva, menerusi persidangan video dari Gaza.

Oleh itu, katanya, tidak menghairankan apabila kes cirit-birit akut hampir berganda sejak Mac, meningkat daripada kira-kira 27,000 kes kepada lebih 48,000 kes pada Ogos.

Gaza berdepan krisis kesihatan dan kemanusiaan yang dahsyat sejak Israel melancarkan perang di wilayah itu susulan serangan 7 Oktober 2023.

Walaupun gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Oktober 2025, keganasan masih berterusan di Gaza dengan Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan barangan termasuk peralatan perubatan dan bahan api.

Pada April, agensi kebajikan Doctors Without Borders mendakwa Israel menggunakan akses kepada bekalan air sebagai ‘senjata’ di Gaza, berdasarkan data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia yang menunjukkan hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi di wilayah itu telah musnah atau rosak akibat tindakan Israel. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.