Iran sekali lagi ulangi pendirian tegas tidak akan berunding dengan AS

Peta Selat Hormuz bersama model mini 3D Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/Foto REUTERS

TEHRAN, 25 Mac – Konflik di Asia Barat yang kini memasuki minggu keempat menyaksikan Iran terus bertegas tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menegaskan tidak akan berunding atau berkompromi dengan Amerika Syarikat.
  • Zolfaqari menekankan tiada persefahaman akan dicapai sama ada sekarang atau pada masa depan.
  • Kestabilan serantau hanya dijamin oleh kekuatan ketenteraan Iran; amaran terhadap pelaburan dan harga tenaga.
  • Konflik mengorbankan beribu nyawa dan menggoncang pasaran tenaga global serta memburukkan kebimbangan inflasi.

Ebrahim Zolfaqari, jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata pendirian Iran kekal tidak berubah walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa Tehran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.

Zolfaqari menegaskan Iran tidak akan berkompromi dengan AS pada bila-bila masa.

“Kata-kata pertama dan terakhir kami adalah sama sejak hari pertama… kami tidak akan sekali-kali mencapai persefahaman dengan Amerika Syarikat, sama ada sekarang atau bila-bila masa,” katanya.

Zolfaqari turut mendakwa kestabilan serantau hanya dapat dijamin melalui kekuatan ketenteraan Iran.

“Sehingga kamu memahami bahawa kestabilan di rantau ini dijamin oleh kekuatan angkatan bersenjata kami, tiada pelaburan anda akan kekal dan harga tenaga tidak akan kembali seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Zolfaqari mendakwa kuasa strategik yang dibanggakan Amerika kini bertukar menjadi “kekalahan strategik”, sambil menyifatkan dunia kini terbahagi kepada dua pihak iaitu “kebenaran dan kebatilan”.

Konflik berkenaan setakat ini dilaporkan mengorbankan ribuan nyawa, selain mencetuskan kejutan besar terhadap pasaran tenaga global dan kebimbangan inflasi di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, kepimpinan Iran berulang kali menegaskan mereka tidak boleh berunding dengan AS, dengan alasan Washington didakwa pernah menyerang negara itu ketika rundingan peringkat tinggi sedang berlangsung dalam tempoh dua tahun lalu. – REUTERS