
TEHRAN, 29 Jun – Kementerian Luar Iran pada menafikan laporan media antarabangsa bahawa pasukan teknikalnya akan bertemu dengan delegasi Amerika Syarikat (AS) di Qatar bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian tamat perang Asia Barat minggu ini.
- Serangan balas di Teluk Parsi menguji ketahanan perjanjian gencatan senjata yang dianggap sangat rapuh.
- Laporan media AS mendakwa Tehran dan Washington dijadualkan mengadakan pertemuan di Doha untuk menyelesaikan pertikaian strategik.
- Qatar dan Pakistan berperanan sebagai perantara dalam rundingan damai antara pihak berkepentingan.
- Qatar juga mengurus aspek kewangan; Presiden Iran kata AS$6 bilion daripada AS$12 bilion dana beku akan dilepaskan.
Penafian itu dibuat ketika kedua-dua belah pihak dilaporkan masih saling berbalas serangan di Teluk Parsi, sekali gus menguji ketahanan perjanjian gencatan senjata yang disifatkan sangat rapuh ketika ini.
“Tiada sebarang mesyuarat teknikal melibatkan kumpulan kerja yang dirancang untuk minggu ini,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dipetik agensi televisyen rasmi negara itu, merujuk kepada kalendar mingguan Iran yang berakhir pada Jumaat.
Terdahulu, portal berita AS, Axios dan CNN yang memetik kenyataan pegawai pentadbiran Donald Trump melaporkan bahawa Tehran dan Washington dijadualkan bertemu di Doha pada Selasa bagi menyelesaikan pertikaian mengenai kawalan laluan strategik di Selat Hormuz.
Qatar bersama-sama Pakistan bertindak sebagai Perantara dalam rundingan damai berkenaan.
Rundingan bersemuka terakhir antara kedua-dua pihak bertelagah itu dilaporkan berlangsung di Switzerland pada 21 Jun lalu dengan kehadiran delegasi dari keempat-empat negara terbabit.
Selain peranan diplomatik, Qatar turut memainkan peranan penting dalam aspek rundingan kewangan memandangkan Tehran mempunyai aset bernilai berbilion dolar yang dibekukan di negara itu akibat sekatan ekonomi AS.
Sementara itu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Isnin memaklumkan langkah mencairkan dana tersebut kini sedang “berjalan lancar”.
“Berdasarkan pelan yang telah dipersetujui, sebanyak AS$6 bilion daripada keseluruhan AS$12 bilion dana yang disekat di Qatar akan dilepaskan dan dipulangkan semula ke Iran,” katanya seperti yang dipetik oleh pejabat presiden Iran. -AFP