Lima maut dalam insiden tembakan rambang di Jerman

Foto AFP

STADE, 29 Jun – Lima maut manakala beberapa yang lain cedera dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah pusat kebajikan belia di bandar Stade, utara Jerman pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis mengesahkan penangkapan seorang suspek dan seorang yang disyaki bersubahat.
  • Siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar masih dijalankan; pihak berkuasa menegaskan keadaan kini terkawal.
  • Insiden ini dianggap antara serangan paling berdarah beberapa tahun, menyamai kejadian Mac 2023 di Hamburg.

Polis mengesahkan seorang lelaki yang disyaki sebagai penembak bersama seorang lagi individu yang didakwa bersubahat dalam serangan itu telah berjaya ditangkap.

Siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian masih dijalankan.

Pihak berkuasa tempatan turut memberi jaminan bahawa keadaan terkawal dan tiada lagi ancaman berbahaya kepada orang awam di kawasan sekitar.

“Satu kes pembunuhan melibatkan mangsa yang ramai telah berlaku di sebuah fasiliti kebajikan belia di bandar ini.

“Lima orang mengalami kecederaan parah yang membawa maut manakala beberapa individu lain turut tercedera,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan.

Sejurus laporan mengenai kejadian itu diterima, satu operasi besar-besaran melibatkan sepasukan anggota polis berbaju kalis peluru serta ambulans telah dikerahkan ke lokasi kejadian di Stade, sebuah bandar berpopulasi sekitar 50,000 penduduk yang terletak 50 kilometer ke barat Hamburg.

Imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan kawasan jalan berbatu di bandar itu dipenuhi kenderaan pihak berkuasa.

Manakala helikopter pemantau dilihat berlegar-legar di ruang udara.

Jerman mempunyai antara undang-undang pemilikan senjata api paling ketat di Eropah termasuk mewajibkan individu berusia bawah 25 tahun lulus ujian psikiatri sebelum memohon lesen senjata.

Polisi tersebut menjadikan kes tembakan secara rambang di negara itu jarang berlaku.

Bagaimanapun, insiden pada Isnin itu direkodkan sebagai antara serangan paling berdarah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, menyamai beberapa siri serangan tragis sebelum ini termasuk kejadian pada Mac 2023 yang menyaksikan enam orang maut ditembak bekas ahli kumpulan agama di Hamburg. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.