Iran kecam Perancis usir dua diplomat, dakwa tindakan tidak sah

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei

TEHRAN, 24 Ogos – Kementerian Luar Iran menyifatkan keputusan Perancis untuk mengusir dua diplomat Iran sebagai tidak sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran tidak membenarkan dua diplomat Perancis yang ditahan di Tehran pada Julai kembali ke negara itu.
  • Perancis mengumumkan pengusiran dua diplomat Iran sebagai tindak balas terhadap layanan terhadap diplomat Perancis.
  • Perancis mendakwa pelanggaran kekebalan diplomatik dan ugutan serius; Baqaei menuntut Paris memohon maaf atas pelanggaran Konvensyen Vienna.

“Tindakan yang diambil Perancis itu adalah tindakan tidak sah sebagai tindak balas terhadap tindakan sah Iran (menghalang dua diplomat Perancis kembali ke Iran), dan sama sekali tidak membantu hubungan dua hala,” kata jurucakap kementerian, Esmaeil Baqaei dalam sidang media mingguan.

Minggu lalu, Baqaei berkata dua diplomat Perancis yang ditahan seketika di Tehran pada Julai atas dakwaan “campur tangan” dalam urusan dalaman negara itu, tidak akan dibenarkan kembali ke Iran.

Sebagai tindak balas, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot mengumumkan pengusiran dua diplomat Iran di Perancis.

Jelas Barrot, tindakan itu dibuat susulan layanan tidak boleh diterima terhadap diplomat Perancis yang ditahan di Tehran pada bulan lalu.

Beliau mendakwa kedua-dua diplomat berkenaan menjadi sasaran pegawai Iran dalam pelanggaran nyata terhadap kekebalan diplomatik, selain berdepan ugutan yang amat serius daripada perkhidmatan keselamatan Iran.

Baqaei sebelum ini dilaporkan berkata, Paris sepatutnya memohon maaf atas tindakan diplomat Perancis itu, yang menurutnya telah melanggar Konvensyen Vienna. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.