Insiden letupan di Tak Bai: Kejadian hampir dengan sempadan Kelantan

Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Narathiwat Ratchanakarin, dengan seorang daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah / Foto orang awam

KOTA BHARU, 29 Jun – Polis Kelantan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand sekiranya tiada urusan penting, susulan kejadian letupan bom di Daerah Tak Bai, Narathiwat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan berlaku kira-kira 15 kilometer dari sempadan Kelantan dan Thailand.
  • IED seberat kira-kira 70 kilogram diaktifkan melalui telefon bimbit; sasaran kenderaan sukarelawan keselamatan Sungai Golok.
  • Dua rakyat Malaysia cedera, seorang dalam keadaan parah; kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Narathiwat Ratchanakarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebelum ini kejadian berlaku jauh dari sempadan, namun hari ini ia berlaku kira-kira 15 kilometer sahaja dari sempadan Kelantan-Thailand.

“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada kerana insiden letupan bom dan tembakan kerap berlaku di wilayah tersebut, dengan purata antara empat hingga lima kejadian setiap minggu.

“Saya berkali-kali ingatkan rakyat Malaysia terutama rakyat Kelantan supaya berhati-hati untuk melancong ke selatan Thailand kerana di sana sentiasa berlaku letupan bom dan tembakan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, kedua-dua mangsa yang memasuki Thailand melalui jalan sah itu dipercayai dalam perjalanan dari Tak Bai ke bandar Narathiwat apabila kenderaan mereka terkena letupan bom.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Prayong Khoksakha berkata, siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada bom buatan sendiri (IED) seberat kira-kira 70 kilogram yang dipercayai diaktifkan menggunakan telefon bimbit.

Menurutnya, sasaran utama serangan ialah kenderaan pasukan sukarelawan keselamatan Sungai Golok, namun kenderaan dinaiki kedua-dua rakyat Malaysia itu terkena tempias letupan selepas memotong kenderaan berkenaan.

Kedua-dua mangsa dari Kelantan dan Sabah berusia 38 dan 45 tahun itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Narathiwat Ratchanakarin, dengan seorang daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Polis Kelantan sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan dan sentiasa mengikuti perkembangan serta arahan pihak berkuasa sebelum melakukan perjalanan ke kawasan selatan Thailand.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.