Indonesia benar kenaikan tambang penerbangan

Airlangga Hartarto/ REUTERS

JAKARTA, 6 April – Indonesia akan membenarkan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket penerbangan dalam lingkungan sembilan hingga 13 peratus susulan peningkatan surcaj bahan api, selain mengecualikan beberapa cukai berkaitan industri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menaikkan had surcaj bahan api kepada 38 peratus bagi pesawat jet, diselaraskan daripada kadar 10 peratus sebelum ini.
  • Pengecualian cukai termasuk VAT dan duti import untuk alat ganti pesawat diperkenalkan bagi mengurangkan beban industri penerbangan.
  • Keputusan dibuat selepas rundingan dengan syarikat penerbangan untuk mengekalkan keterjangkauan harga tiket dan mengelakkan kerugian besar kepada syarikat.

Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, syarikat penerbangan kini dibenarkan menaikkan tambang selepas kerajaan memberi kelonggaran untuk meningkatkan surcaj bahan api sehingga 38 peratus daripada had maksimum tambang.

“Namun pada masa sama kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai serta langkah lain bagi mengawal harga susulan konflik berterusan di Asia Barat.

“Langkah itu termasuk pengecualian cukai nilai tambah (VAT) bagi syarikat penerbangan dan duti import untuk alat ganti pesawat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, syarikat penerbangan sebelum ini memohon kenaikan surcaj bahan api sehingga 50 peratus, namun kerajaan berpandangan kadar 38 peratus adalah paling sesuai bagi mengekalkan kuasa beli rakyat dan mengelakkan kerugian besar kepada syarikat penerbangan.

“Kerajaan berusaha memastikan harga tiket kekal berpatutan untuk rakyat. Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan telah menaikkan surcaj bahan api sebagai sebahagian daripada langkah tersebut.

“Sebelum ini, surcaj bahan api ditetapkan pada kadar 10 peratus berdasarkan had tambang 2019, namun kini diselaraskan kepada 38 peratus bagi pesawat jet,” katanya.

Penetapan kadar surcaj bahan api dibuat melalui perbincangan bersama semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Indonesia, khususnya penerbangan domestik.

“Kami tidak membuat keputusan ini secara unilateral, sebaliknya berdasarkan rundingan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan, terutama syarikat penerbangan,” katanya.- REUTERS