IEA jangka pasaran LNG kekal ‘ketat’ hingga 2027

Foto Reuters

PARIS, 24 April – Bekalan gas asli cecair (LNG) dijangka terus tertekan sehingga penghujung 2027 susulan gangguan dan kerosakan infrastruktur akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menurut International Energy Agency (IEA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hampir 20% bekalan LNG global terjejas; kekurangan terkumpul dianggarkan 120 bilion meter padu antara 2026 dan 2030.
  • Pelaburan baru untuk menambah pengeluaran berkemungkinan tertangguh, menjejaskan kapasiti respons jangka pendek.
  • Penutupan Selat Hormuz dan serangan ke atas kemudahan minyak dan gas menyebabkan lonjakan harga tenaga.
  • Permintaan di Asia, langkah penjimatan dan peralihan bahan api penting untuk menstabilkan pasaran; harga tinggi berisiko cetus inflasi global.

Agensi itu memaklumkan hampir 20 peratus bekalan LNG global telah terjejas, dengan kekurangan terkumpul dianggarkan mencecah 120 bilion meter padu antara 2026 hingga 2030.

Selain memberi amaran bahawa pelaburan baharu untuk meningkatkan pengeluaran berkemungkinan tertangguh.

Krisis bertambah buruk selepas Iran menutup Selat Hormuz kepada kapal tangki serta menyerang kemudahan minyak dan gas di rantau Teluk, menyebabkan harga tenaga melonjak.

“Walaupun projek pencairan baharu di wilayah lain dijangka menampung kekurangan ini dalam jangka panjang, kesannya akan menyebabkan pasaran kekal ketat sepanjang 2026 dan 2027,” menurut agensi itu.

Lonjakan harga juga berpotensi menekan permintaan gas, dengan banyak negara mula melaksanakan langkah penjimatan tenaga serta beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

IEA menyatakan permintaan khususnya di Asia akan menjadi faktor utama dalam menstabilkan pasaran, termasuk melalui peralihan bahan api dan usaha penjimatan tenaga.

Pakar ekonomi turut memberi amaran harga yang kekal tinggi boleh mencetuskan inflasi global dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi sekiranya pengguna mengurangkan perbelanjaan.-AFP