Gelongsoran lumpur: Seorang terkorban,11 masih hilang

Foto REUTERS

NANCHANG, 6 September – Seorang disahkan terkorban manakala 11 lagi masih hilang selepas gelongsoran lumpur melanda sebuah kampung di Daerah Suichuan, Bandar Ji’an, Wilayah Jiangxi di timur China pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat berterusan susulan Taufan Saudel dikenal pasti sebagai punca gelongsoran lumpur.
  • Dua mangsa berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil.
  • Lebih 640 anggota penyelamat tiba untuk operasi mencari dan menyelamat menggunakan dron, anjing pengesan dan pengesan hayat.
  • 39 penduduk dipindahkan ke lokasi selamat, lebih 5,300 lagi dipindahkan berjaga-jaga; respons kecemasan Wilayah Tahap 3 dikeluarkan.

Menurut laporan Xinhua, bencana itu berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa hari susulan Taufan Saudel.

Dua lagi mangsa berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran sedang giat dijalankan, manakala usaha memindahkan penduduk yang terjejas serta mencegah bencana sekunder terus dilaksanakan.

Lebih 640 anggota penyelamat telah tiba di lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Kumpulan pertama anggota bomba yang dilengkapi pengesan hayat, dron dan anjing pengesan tiba di lokas selepas menggunakan laluan merentasi gunung berikutan jalan menuju ke kampung berkenaan mengalami kerosakan.

Setakat ini, seramai 39 penduduk kampung telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Di kawasan berhampiran, lebih 5,300 penduduk turut dipindahkan bagi berjaga-jaga terhadap potensi bencana.

Berikutan bencana itu, Jawatankuasa Pencegahan, Pengurangan dan Bantuan Bencana Wilayah Jiangxi mengeluarkan respons kecemasan bantuan bencana Tahap 3 peringkat wilayah pada tengah hari Sabtu, memandangkan Taufan Saudel telah menjejaskan kira-kira 161,500 penduduk di wilayah berkenaan. – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.