
MARAN. 6 September – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) meninggal dunia manakala lapan lagi dirawat di hospital selepas disyaki mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, disini.
- Pemeriksaan awal mendapati peserta mengalami masalah berkaitan haba termasuk kekurangan oksigen.
- UiTM membatalkan semua aktiviti luar KKEC, menzahirkan takziah dan menyediakan bantuan kepada keluarga mangsa.
- KKEC berlangsung 2 hingga 8 September 2026 dengan SOP ketat; pemeriksaan dan saringan kesihatan wajib, beberapa peserta diminta menarik diri.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam (Sabtu).
“Pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen.
“Maklumat lanjut akan diberikan selepas kita menerima laporan bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, UiTM Cawangan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini dibatalkan sebagai langkah susulan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar.
UiTM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Fadhlan Fakhry serta menyediakan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
Menurut kenyataan itu, KKEC yang berlangsung dari 2 hingga 8 September 2026 menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM di Malaysia dan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan serta keselamatan yang ketat.
Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan berkala sebelum setiap acara.
Malah, beberapa peserta sebelum ini telah diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir berkenaan.
UiTM berkata pihaknya mengambil serius kejadian itu dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat terpelihara.