
BUENOS AIRES, 6 September – Presiden Argentina Javier Milei menegaskan semula tuntutannya terhadap Kepulauan Falkland dengan mengumumkan tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang terlibat dalam projek minyak berhampiran kepulauan itu.
- Argentina mengenakan sekatan terhadap syarikat yang menjalankan penerokaan dan eksploitasi hidrokarbon berhampiran Falkland tanpa kebenaran.
- Pejabat Presiden memulakan prosiding menyiasat dan mengambil tindakan terhadap 45 entiti yang dikaitkan dengan aktiviti hidrokarbon.
- Syarikat Schlumberger Halliburton dan Baker Hughes menafikan terlibat atau akan terlibat dalam projek hidrokarbon berdekatan Kepulauan Falkland.
- AS menyatakan sedang mengkaji semula pendirian mengenai Falkland sementara Britain menegaskan komitmen tanpa berbelah bahagi terhadap pulau itu.
Milei berkata tindakan itu termasuk mengenakan sekatan terhadap syarikat yang menjalankan aktiviti penerokaan dan eksploitasi hidrokarbon berhampiran kepulauan yang ditadbir Britain itu tanpa kebenaran Argentina.
Pejabat Presiden Argentina dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan prosiding telah dimulakan untuk menyiasat dan mengenakan tindakan terhadap 45 entiti yang dikaitkan dengan aktiviti berkenaan.
Kenyataan itu tidak menamakan entiti terbabit, namun media Argentina melaporkan ia termasuk syarikat dari Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Denmark dan Belanda.
Pada Sabtu, syarikat perkhidmatan medan minyak Schlumberger, Halliburton dan Baker Hughes masing-masing mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menjalankan dan tidak akan terlibat dalam projek hidrokarbon berhampiran Kepulauan Falkland.
Milei kemudian berkongsi laporan mengenai kenyataan ketiga-tiga syarikat itu di X, disertai singkatan yang membawa maksud “semuanya berjalan mengikut rancangan”.
Kepulauan Falkland terletak kira-kira 600 kilometer (km) di timur hujung selatan Argentina dan ditadbir Britain, namun Buenos Aires menuntutnya sebagai Las Malvinas.
Britain dan Argentina berperang selama 74 hari pada 1982 berhubung kepulauan itu.
Konflik berakhir dengan kekalahan Argentina dan mengorbankan 649 anggota Argentina serta 255 anggota Britain.
Pendirian terbaru Milei itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin berkata Washington sedang mengkaji semula pendiriannya berhubung Kepulauan Falkland.
Menurut laporan media, Washington mengancam untuk menentang kedaulatan Britain ke atas kepulauan berkenaan sekiranya Britain tidak meningkatkan perbelanjaan pertahanan NATO.
Bagaimanapun, Setiausaha Pertahanan Britain Wes Streeting menegaskan komitmen negaranya terhadap Kepulauan Falkland kekal “tidak berbelah bahagi”.
“Kepulauan Falkland adalah milik Britain kerana penduduknya memilih untuk menjadi rakyat Britain,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Jumaat. – AFP