
WASHINGTON, 13 Mac – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini sedang merancang untuk mengiringi kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz bagi memastikan keselamatan laluan perdagangan minyak dunia itu terjamin.
- Tentera Laut AS bersama sekutu akan kawal rapat laluan laut itu apabila keadaan keselamatan bertambah baik.
- AS memusnahkan 16 kapal penabur ranjau milik Iran dalam tindakan ketenteraan baru-baru ini.
- Presiden Trump mengeluarkan amaran keras supaya Iran tidak memasang ranjau atau berdepan tindakan lebih tegas.
- Pemimpin Iran, Mojtaba Khamenei, mengancam menutup Selat Hormuz sebagai alat tekanan terhadap AS dan Israel.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Tentera Laut AS bersama sekutu antarabangsa akan mula mengawal rapat kapal-kapal yang lalu di laluan itu sebaik sahaja keadaan keselamatan di kawasan berkenaan bertambah baik.
Langkah ini diambil selepas tentera AS bertindak memusnahkan 16 buah kapal penabur ranjau milik Iran pada Selasa lalu.
Presiden, Donald Trump turut memberi amaran keras supaya Iran tidak lagi memasang sebarang bahan letupan (ranjau) di laluan laut tersebut atau berdepan tindakan lebih tegas.
Di pihak yang lain, pemimpin baharu Iran, Mojtaba Khamenei menegaskan negaranya tidak akan mengalah.
Dalam ucapan pertamanya, beliau menyatakan bahawa Iran akan terus menutup Selat Hormuz sebagai cara untuk menekan AS dan Israel.
“Tindakan menutup selat ini adalah ‘senjata’ kami dan kami akan terus gunakannya,” kata beliau.
Selat Hormuz adalah laluan yang sangat penting kerana hampir 20 peratus bekalan minyak dunia dibawa melalui kawasan ini.
Buat masa ini, dunia sedang memerhatikan dengan teliti sama ada rundingan damai akan berlaku atau konflik ini akan terus memuncak di salah satu laluan laut tersibuk di dunia itu.-REUTERS