Ancaman El Nino jejaskan sektor pertanian di rantau Indochina

Foto AFP 

PHNOM PENH, 5 Julai – Kerajaan di seluruh rantau Mekong sedang mempergiat persiapan susulan ancaman El Nino yang berpotensi menjejaskan sektor pertanian, pengeluaran makanan serta ekonomi di rantau Indochina yang bergantung kepada sektor pertanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • WMO meramalkan El Nino mengukuh Julai hingga September, meningkatkan kemungkinan kemarau, hujan lebat dan gelombang haba.
  • Suhu meningkat, paras air sungai turun, ikan mati; sawah padi dan tanaman lain berdepan kekurangan air serta risiko pengurangan hasil.
  • Kerajaan dan agensi di Kemboja, Laos dan Vietnam berjaga-jaga, mengarahkan bekalan makanan dan bantuan segera kepada petani terjejas.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada 3 Julai memberi amaran bahawa El Nino, fenomena cuaca semula jadi di Lautan Pasifik yang dicirikan oleh peningkatan suhu permukaan laut, berpotensi menjadi lebih kuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan mencetuskan kejadian cuaca ekstrem di banyak kawasan di seluruh dunia.

“Cuaca lebih panas dan taburan hujan berkurangan pada musim ini, sekali gus memberi kesan kepada sawah padi. Petani berdepan masalah akibat keadaan ini, namun pihak berkuasa wilayah sedang menyalurkan bekalan air dari wilayah berhampiran bagi membantu mereka. Sebanyak 65 peratus penduduk di sini ialah petani,” kata Gabenor Wilayah Banteay Meanchey Oum Reatrey.

Wilayah di barat laut Kemboja itu mempunyai kira-kira 260,000 hektar kawasan penanaman padi, manakala 70,000 hektar lagi merupakan ladang ubi kayu.

Tanda-tanda awal sudah mula kelihatan, termasuk peningkatan suhu, penurunan paras air sungai, serta keadaan kemarau yang semakin buruk.

Pegawai di Wilayah Siem Reap di barat laut Kemboja mula bertindak pada akhir Mei untuk menyiasat kejadian ikan mati yang terapung di Tasik Tamouk. Kira-kira dua tan ikan dilaporkan mati, dipercayai berpunca daripada cuaca panas berpanjangan dan paras oksigen yang rendah, menurut media tempatan.

Sementara itu, kira-kira 20,000 hektar sawah padi tadahan hujan di Wilayah Battambang di barat laut Kemboja dilaporkan berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Pihak berkuasa di Kemboja, Laos dan Vietnam kini berada dalam keadaan berjaga-jaga serta menggesa agensi tempatan membuat persediaan menghadapi cuaca ekstrem.

El Nino merupakan mimpi ngeri bagi para petani. Fenomena cuaca itu menyebabkan taburan hujan yang sedikit dan tempoh cuaca kering yang berpanjangan, manakala kekurangan bekalan air menjejaskan sistem pengairan.

Bagi ekonomi agraria di rantau Mekong yang dihuni lebih 300 juta penduduk, dengan sebahagian besarnya bergantung kepada aktiviti pertanian dan perikanan, cuaca buruk boleh menjejaskan mata pencarian serta ekonomi luar bandar.

Sebagai contoh, petani di Vietnam yang mengeksport beras, biji kopi, buah-buahan tropika dan makanan laut berkemungkinan berdepan penyusutan hasil pengeluaran.

Di Kemboja pula, pengusaha tanaman gajus, padi, ubi kayu, mangga dan pisang dijangka terjejas akibat bekalan air yang tidak mencukupi berikutan kesan El Nino.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada 26 Jun mengarahkan kementerian dan institusi berkaitan menyediakan bekalan makanan serta barangan keperluan bagi membantu petani yang terjejas dengan segera.

Di Vietnam, pihak berkuasa memberi amaran bahawa gelombang haba sedang melanda banyak kawasan di seluruh negara, dengan suhu mencecah antara 36 hingga 40 darjah Celsius.

Di Delta Mekong, yang dikenali sebagai jelapang padi negara dan didiami kira-kira 20 juta penduduk, kemarau serta kekurangan bekalan air berpotensi menjejaskan kira-kira 350,000 hektar sawah padi musim sejuk-musim bunga.

Kawasan delta itu terkenal sebagai pusat pengeluaran beras, makanan laut dan buah-buahan.

Sebelum ini, Agensi Berita Laos melaporkan bahawa El Nino berpotensi menjejaskan corak taburan hujan di seluruh negara sehingga Julai. Keadaan itu boleh meningkatkan risiko kemarau, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan serta kerosakan terhadap sektor pertanian dan penternakan.

WMO meramalkan fenomena El Nino yang kuat akan berlaku dari Julai hingga September tahun ini.

“Keadaan El Nino sudah pun bermula dan dijangka mengukuh dengan pantas sehingga menjadi fenomena yang kuat, sebagaimana yang diramalkan dengan tepat oleh WMO..

“Keadaan ini akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kemarau dan hujan lebat serta risiko gelombang haba di daratan dan gelombang haba marin di banyak kawasan di dunia,” kata Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.