Pasukan Piala Dunia Switzerland jadi sasaran komen kebencian di media sosial

Pemain Switzerland meraikan jaringan gol pertama pasukannya ketika menentang Algeria dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, Vancouver/AFP

VANCOUVER, 5 Julai- Pemain Switzerland semakin menjadi sasaran komen berbaur kebencian di media sosial sepanjang kempen Piala Dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain Switzerland menjadi sasaran komen kebencian dan diskriminasi di media sosial sepanjang kempen Piala Dunia.
  • Persatuan bola sepak Switzerland menutup ruangan komen dan akan serah laporan jenayah kepada pihak berkuasa jika perlu.
  • FIFA melaporkan peningkatan komen perkauman; kira-kira 11 peratus hantaran menghina mengandungi unsur perkauman, meningkat berbanding 2022.
  • Pemain Belanda turut menjadi mangsa perkauman; KNVB membuat laporan kepada pihak pendakwa raya sementara akaun menutup fungsi komen.

“Malangnya, kini kami boleh menganggarkan bila risiko peningkatan komen yang amat keji seperti ini akan berlaku,” kata jurucakap pasukan itu kepada agensi berita Keystone-SDA.

“Dalam keadaan sedemikian, ruangan komen di saluran media sosial kami sering disekat lebih awal.”

Katanya, selepas keputusan seri 1-1 menentang Qatar dalam perlawanan pembukaan, begitu banyak mesej berunsur diskriminasi diterima sehingga fungsi ruangan komen di saluran media sosial persatuan itu terpaksa dinyahaktifkan.

“Ini juga kerana sebahagian daripada komen itu menyentuh warna kulit atau asal usul pemain,” tambahnya.

Beliau berkata sebaik sahaja sesuatu komen memenuhi unsur kesalahan jenayah, Persatuan Bola Sepak Switzerland akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa penguat kuasa undang-undang.

Switzerland masih meneruskan saingan dan akan menentang Colombia pada pusingan 16 terbaik di Vancouver pada Selasa.

Minggu lalu, FIFA memaklumkan komen berunsur perkauman sepanjang Piala Dunia semakin meningkat.

Menurut badan induk bola sepak dunia itu, kira-kira 11 peratus daripada semua hantaran dalam talian yang diklasifikasikan sebagai bersifat menghina mengandungi unsur perkauman.

Jumlah itu meningkat tiga peratus berbanding tempoh yang sama pada Piala Dunia di Qatar pada 2022. Kira-kira 1,000 akaun media sosial telah dilaporkan kepada pihak polis.

Pemain Belanda Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville turut menjadi mangsa kecaman berunsur perkauman di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan pusingan 32 terakhir kepada Maghribi.

Trio berkenaan telah menutup fungsi komen pada akaun media sosial masing-masing.

Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) mengecam perbuatan itu dan telah membuat laporan kepada pihak pendakwa raya di Belanda. -BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.