
KIEV, 7 Julai – Serangan udara besar-besaran tentera Rusia menggunakan peluru berpandu balistik dan dron ke atas beberapa kawasan perumahan di wilayah Kiev mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang awam.
- Pihak berkuasa: 18 maut di Kiev, lapan di Vyshneve; lebih 100 cedera, kira-kira 30 bangunan kediaman musnah.
- Zelensky mengecam tindakan Russia sebagai taktik kejam untuk memusnahkan Ukraine, menyeru sekutu percepat penghantaran sistem Patriot.
- Kementerian Pertahanan Rusia dakwa serangan sasar premis ketenteraan serta fasiliti tenaga; NATO pula komited terus beri bantuan ketenteraan.
Insiden pada Isnin itu tercetus hanya beberapa hari selepas serangan terdahulu yang meragut lebih 30 nyawa di ibu negara Ukraine serta menjelang Sidang Kemuncak NATO yang dijadual berlangsung di Turkiye.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam tindakan tersebut yang disifatkannya sebagai taktik kejam Moscow untuk menghancurkan Ukraine.
“Taktik Rusia tidak pernah berubah; mereka mahu memusnahkan kita dan memastikan tiada tempat yang selamat di negara ini,” ujar beliau.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan 18 kematian direkodkan di ibu kota Kiev, manakala lapan lagi mangsa maut di bandar pinggir Vyshneve.
Bedilan tersebut turut mencederakan lebih 100 orang awam dan memusnahkan kira-kira 30 bangunan kediaman termasuk sebuah blok apartmen bertingkat di daerah Podilsky.
Secara keseluruhan, tentera Rusia dilapor melepaskan 68 peluru berpandu dan 351 dron pemusnah dalam serangan gelombang kedua minggu ini.
Selain Kiev, serangan berasingan menggunakan dron di wilayah Sumy dan bandar Zaporizhzhia turut mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang awam.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan mempertahankan tindakan tersebut dengan mendakwa bedilan berkenaan disasarkan secara khusus ke atas premis ketenteraan serta fasiliti tenaga dan bahan api Ukraine.
Susulan serangan peluru berpandu balistik berkenaan, Zelensky merayu sekutu Barat untuk menyegerakan penghantaran sistem pertahanan udara buatan Amerika Syarikat (AS), Patriot.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte melalui kenyataannya di Ankara menegaskan bahawa pihak sekutu komited untuk terus memastikan Ukraine menerima segala bantuan ketenteraan yang diperlukan.
Tentera Ukraine turut dilaporkan berjaya melancarkan serangan balas dron jarak jauh ke atas loji penapis minyak terbesar milik Rusia di wilayah Omsk, Siberia.
Serangan sejauh 2,500 kilometer dari sempadan Ukraine itu menggunakan dron domestik terbaharu, ‘Fire Point’ dan disahkan telah mencetuskan kebakaran besar.
Ukraine menegaskan loji berkenaan menjadi sasaran strategik kerana membekalkan bahan api kepada jentera ketenteraan Rusia. – AFP