RTM terus sokong agenda perkasa bakat seni tempatan

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail merasmikan single terbaharu Hafiz Suip ‘Yang Engkau Mahukan’ di St Giles Boulevard, Mid Valley hari ini./ Foto RTM

KUALA LUMPUR,26 Februari– Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus menyokong agenda memperkasakan bakat-bakat anak seni tempatan dalam usaha memartabatkan industri seni dan kreatif tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM akan terus memperkasakan bakat seni tempatan bagi memartabatkan identiti dan jiwa negara.
  • Transformasi RTM selari dengan pendirian Kerajaan MADANI mempromosi industri muzik dan seni.
  • Aktiviti pelancaran single melibatkan penglibatan langsung kepimpinan RTM dan penggiat muzik tempatan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata usaha pemerkasaan itu penting memandangkan industri seni memberi gambaran besar terhadap identiti sesebuah bangsa dan negara.

“Ini sebagai isyarat jelas yang kita (RTM) akan sentiasa memperkasakan bakat-bakat tempatan dan identiti seni negara harus terus diperkasakan dan bakat-bakat tempatan kita harus terus diketengahkan.

“Ini semangat RTM yang telah ditransformasikan dan akan terus ditransformasi dari semasa ke semasa dan ia juga memberi pendirian jelas Kerajaan MADANI hari ini dalam memastikan bakat-bakat tempatan dan industri muzik dan seni negara terus diperkasakan kerana ia memberi gambaran besar terhadap jiwa dan hati nurani sesebuah bangsa dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan single terbaharu penyanyi terkemuka, Hafiz Suip berjudul ‘Yang Engkau Mahukan’ di sini hari ini.

Ashwad kemudiannya, meluangkan masa bersama Hafiz dan isterinya, Fiona Saflya serta komposer terkenal Ajai dalam majlis berbuka puasa.

Sementara itu, Hafiz menzahirkan penghargaan atas kehadiran Ashwad ke majlis pelancaran single terbaharunya.

“Saya ucap terima kasih kepada Ashwad sudi hadir ke majlis saya ini walaupun kecil-kecilan sahaja. Sebagai Ketua Pengarah Penyiaran sanggup hadir merasmikan single saya dan saya bersyukur ke hadrat Illahi. Dan tidak lupa juga kepada komposer saya, Ajai dan rakan-rakan dari stesen radio. Ini sebagai satu penghargaan,” ujar beliau.