
CYBERJAYA, 13 April – Bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif negara melalui teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), animasi, visual kesan khas (VFX) dan analitik data, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memeterai kerjasama strategik menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Multimedia (MMU).
- MoU sebagai langkah penting melahirkan bakat baru lebih bersedia menghadapi perubahan industri digital.
- Industri perlu beroperasi berdasarkan data, bukan hanya rasa dan emosi.
- FINAS tidak campur tangan dalam kreativiti pengkarya; fokus pada latihan, teknologi dan peluang pasaran.
- Industri filem tempatan perlu tumpu pasaran serantau dahulu, kemudian berkembang ke peringkat Asia dan antarabangsa.
Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, inisiatif memorandum persefahaman (MoU) itu merupakan langkah penting dalam melahirkan bakat baharu yang lebih bersedia menghadapi perubahan industri berasaskan digital.
“Industri ini perlu bergerak melalui data, bukan lagi sekadar berdasarkan rasa dan emosi. Dengan sokongan MMU dan FINAS, kita mahu lahirkan bakat berkualiti tinggi yang mampu membawa industri ke tahap antarabangsa,” katanya selepas pemeteraian MoU di MMU, Cyberjaya hari ini.
Tambah beliau, FINAS juga tidak akan campur tangan dalam aspek kreativiti pengkarya, sebaliknya memberi tumpuan kepada sokongan latihan, teknologi dan peluang pasaran.
Industri filem tempatan perlu menembusi pasaran serantau terlebih dahulu sebelum ke peringkat global termasuk anugerah antarabangsa.
“Kita tidak boleh menghasilkan filem semata-mata untuk mengejar Oscar. Kita perlu bermula di peringkat Asia Tenggara, kemudian berkembang ke Asia sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.