
SAUDARA PENGARANG
- Usahawan desa perlukan strategi jelas: sasaran pelanggan, pembezaan produk dan perancangan bertahap, bukan semata modal.
- Wanita muda pulang ke desa memacu inovasi; sokongan dan bimbingan boleh jadikan kampung ruang peluang ekonomi baharu.
- Perlu ekosistem menyeluruh: bimbingan berterusan, digitalisasi, akses pasaran dan integrasi produk kampung dengan pelancongan.
Usahawan desa tidak wajar dilihat sebagai pemain kecil dalam ekonomi negara. Walaupun ramai bermula secara kecil-kecilan, peranan mereka kepada komuniti, pekerjaan dan ekonomi setempat sangat penting.
Menurut Laporan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, PMKS menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negara pada tahun 2025, dengan nilai ditambah RM689.8 bilion.
PMKS juga merangkumi 48.7 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga Malaysia, melibatkan 8.09 juta pekerja.
Data ini menunjukkan bahawa PMKS bukan sektor kecil. Dalam konteks luar bandar, PMKS bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga menghidupkan ekonomi komuniti.
Sebab itu, usahawan desa perlu dibantu dengan lebih tersusun, bukan hanya dilihat sebagai peniaga kecil yang menjual untuk menampung kehidupan harian.
Usahawan Perlukan Strategi
Berdasarkan pemerhatian lapangan di Perlis, ramai usahawan baharu sebenarnya mempunyai produk, semangat dan perancangan awal. Namun, mereka masih terhad dari segi pengetahuan, jaringan, bimbingan dan strategi untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Pada pandangan saya, cabaran utama usahawan baharu bukan semata-mata modal. Cabaran yang lebih besar ialah hala tuju.
Mereka perlu jelas tentang pelanggan sasaran, nilai produk, kedudukan dalam pasaran dan cara untuk mengembangkan perniagaan secara berperingkat.
Produk yang baik sahaja tidak mencukupi. Usahawan perlu tahu bagaimana produk itu hendak dibezakan.
Bagi usahawan luar bandar, kekuatan mereka bukan hanya pada produk, tetapi pada tempat, cerita, komuniti dan keaslian yang melatari produk tersebut. Ini boleh menjadi kelebihan jika diurus dengan strategi yang betul.
Wanita Muda dan Ekonomi Desa
Dalam pemerhatian saya dan rakan penyelidik di UniMAP, ramai usahawan baharu di Perlis terdiri daripada wanita, termasuk wanita muda yang kembali ke kampung halaman selepas berada di bandar.
Mereka membawa cara fikir baharu, lebih terbuka kepada media sosial dan lebih berani mencuba pendekatan perniagaan yang berbeza.
Perkembangan ini penting kerana ia menunjukkan bahawa kampung bukan lagi sekadar tempat yang ditinggalkan oleh anak muda. Kampung juga boleh menjadi ruang untuk membina peluang baharu, terutama jika usahawan muda dibantu dengan bimbingan yang sesuai.
Salah satu contoh ialah seorang usahawan wanita di Bukit Chabang, Perlis yang mengusahakan perniagaan kek minyak. Beliau mempunyai impian untuk menjadikan kek minyak sebagai produk “Made in Perlis”.
Impian ini wajar diberi perhatian kerana ia menunjukkan potensi produk kampung untuk diangkat sebagai produk komersial dan produk pelancongan.
Produk Kampung Sebagai Aset Tempat
Bukit Chabang boleh dilihat sebagai salah satu contoh kawasan yang mempunyai kelebihan tersendiri. Kawasan ini memiliki tarikan semula jadi dan berpotensi menjadi tumpuan pelancong.
Di sekitarnya juga terdapat perusahaan kampung dan kuih tradisional warisan yang masih diusahakan oleh penduduk tempatan.
Namun, potensi seperti ini tidak terhad kepada Bukit Chabang atau Perlis sahaja. Banyak kawasan luar bandar dan lokasi yang lebih pedalaman di negeri-negeri lain juga mempunyai kekuatan setempat yang belum diketengahkan sepenuhnya.
Jika pendekatan ini disusun dengan baik, model yang sama boleh digunakan untuk mengangkat produk kampung, usahawan tempatan dan pengalaman komuniti sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi luar bandar.
Belajar daripada Maldives
Malaysia juga boleh mengambil pengajaran daripada negara kecil seperti Maldives.
Laporan UNDP mengenai ekosistem keusahawanan Maldives menunjukkan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana memainkan peranan penting dalam ekonomi setempat, khususnya dalam pekerjaan, pelancongan komuniti dan kepelbagaian ekonomi.
Namun, usahawan kecil di Maldives turut berdepan cabaran yang hampir sama seperti akses pembiayaan, kos logistik, infrastruktur digital, sokongan perniagaan dan capaian pasaran.
Pengajaran penting daripada pengalaman ini ialah usahawan kecil tidak boleh dibantu secara terpisah.
Mereka memerlukan ekosistem yang menyeluruh, termasuk bimbingan perniagaan, akses pasaran, kewangan, infrastruktur, digitalisasi dan jaringan komuniti.
Perkara ini relevan untuk Malaysia. Jika kawasan luar bandar mahu dibangunkan sebagai ruang ekonomi, produk kampung tidak boleh dilihat secara berasingan daripada pelancongan, pemasaran digital, jaringan pembekal, kemudahan asas dan identiti tempat.
Kesan Limpahan kepada Komuniti
Apabila seorang usahawan dibantu untuk berkembang, manfaatnya tidak terhenti kepada usahawan itu sahaja. Perniagaan yang lebih tersusun boleh menarik pelanggan luar, membawa pengunjung ke kawasan tersebut dan membuka peluang kepada usahawan kecil lain.
Sebagai contoh, pelanggan yang datang membeli kek minyak mungkin turut membeli kuih tradisional, produk kampung atau menggunakan perkhidmatan lain di kawasan sekitar.
Inilah kesan limpahan yang perlu dilihat dalam pembangunan usahawan desa.
Membantu seorang usahawan boleh menjadi permulaan kepada pembangunan komuniti. Oleh itu, bantuan tidak boleh hanya berbentuk sekali beri.
Usahawan memerlukan bimbingan berterusan, latihan pemasaran, pembangunan jenama, sokongan pembungkusan, pensijilan dan akses pasaran.
Selari dengan Agenda Pembangunan Desa
Pendekatan ini juga selari dengan Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada ekonomi desa, modal insan, jaringan prasarana, usahawan desa dan sistem penyampaian.
Pelan tersebut turut menekankan pembangunan kapasiti usahawan desa, pendigitalan, pemasaran dalam talian, rantaian nilai desa serta penglibatan wanita dan belia dalam perniagaan.
Ini bermakna pembangunan usahawan luar bandar bukan isu kecil. Ia sebahagian daripada agenda negara untuk menjadikan desa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
Namun, dasar yang baik perlu diterjemahkan kepada tindakan yang dekat dengan realiti usahawan. Di lapangan, usahawan mahu tahu perkara yang praktikal. Bagaimana hendak menetapkan harga?
Bagaimana hendak memasarkan produk? Bagaimana hendak menarik pelanggan? Bagaimana hendak menjadikan perniagaan lebih tersusun?
Perlis Perlu Lebih Banyak Produk Sokongan
Perlis selama ini banyak dikenali dengan harumanis. Tidak dinafikan, harumanis ialah kebanggaan negeri. Namun, sifatnya yang bermusim menunjukkan bahawa Perlis memerlukan lebih banyak produk sokongan yang boleh dipasarkan sepanjang tahun.
Produk seperti kek minyak, kuih tradisional, produk tani, makanan warisan dan pengalaman desa boleh menjadi sebahagian daripada jenama Perlis jika dibangunkan secara strategik.
Apa yang diperlukan ialah pemetaan produk berpotensi, bimbingan kepada pengusaha, pembinaan identiti jenama dan penyusunan laluan pelancongan komuniti.
Media sosial juga perlu digunakan sebagai strategi, bukan sekadar tempat memuat naik gambar jualan.
Usahawan boleh berkongsi proses pembuatan, asal usul produk, suasana kampung, testimoni pelanggan dan keunikan lokasi. Cerita seperti ini boleh meningkatkan kepercayaan pelanggan.
Peranan ahli akademik juga penting. Ahli akademik boleh menjadi rakan fikir kepada usahawan dengan membantu menyusun idea, mengenal pasti kekuatan, menilai cabaran dan mencadangkan strategi yang sesuai.
Universiti perlu lebih dekat dengan komuniti supaya ilmu pengurusan, pemasaran, keusahawanan dan strategi dapat diterjemahkan kepada bimbingan yang praktikal.
Pada akhirnya, usahawan desa bukan pemain kecil ekonomi negara. Mereka ialah penggerak ekonomi komuniti yang perlu dibantu dengan strategi yang jelas, sokongan berterusan dan ekosistem yang kuat.
Jika produk kampung diberi perhatian dan usahawan dibimbing dengan baik, desa mampu menjadi ruang pertumbuhan ekonomi yang lebih bermakna.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Mahmad Nasir
Pensyarah Kanan (Pengurusan Strategik, Keusahawanan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: nadiahnasir@unimap.edu.my