
SAUDARA PENGARANG
- Pilih program utama berdasarkan kelayakan akademik dan syarat kursus, bukan semata-mata minat, untuk meningkatkan peluang tawaran.
- Teliti syarat kemasukan setiap kursus, nilaikan kekuatan diri secara realistik dan pilih gabungan kursus berdaya saing, sederhana dan selamat.
- Manfaatkan panduan guru, kaunselor, ibu bapa dan program KPT seperti Karnival Jom Masuk Universiti untuk maklumat dan perancangan strategik.
Saban tahun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui platform UPUOnline menerima ratusan ribu permohonan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kelayakan setaraf lain, untuk mengikuti pengajian di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK), Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan sebagainya.
Tahun ini, pelajar lepasan SPM boleh memohon sehingga 12 April 2026 bagi pengajian Sesi 2026/2027, selepas memperoleh keputusan yang diumumkan pada 31 Mac.
Manakala, permohonan fasa pertama bagi pelajar lepasan STPM dan setara telah ditutup pada 23 Mac lalu dan akan dibuka semula bagi fasa kedua mulai 13 April hingga 15 Mei ini.
Saringan Permohonan Berasaskan Sistem Meritokrasi
Tidak dinafikan bahawa minat sememangnya penting sebagai pendorong motivasi sepanjang tempoh pengajian, namun ia perlu disokong oleh pencapaian akademik yang relevan bagi meningkatkan kebarangkalian berjaya mendapat tawaran.
Pemilihan kursus yang terlalu bergantung kepada minat tanpa mengambil kira merit boleh menyebabkan peluang kemasukan menjadi lebih rendah.
Ini kerana, realiti sistem kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya masih berasaskan merit akademik, syarat khas program, jumlah tempat dan lain-lain aspek.
Jadi, amat penting untuk memastikan pelajar membuat pilihan program pengajian utama berdasarkan kelayakan akademik dan bukan hanya berasaskan minat.
Salah satu faktor kegagalan mendapat tempat di program pengajian adalah ketakpadanan kelayakan akademik dan syarat asas kursus ditetapkan terutama bagi bidang pengajian kompetitif seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.
Menurut garis panduan ditetapkan KPT, setiap program pengajian mempunyai syarat minimum yang perlu dipenuhi seperti pencapaian dalam subjek tertentu, keputusan keseluruhan serta keperluan tambahan seperti temu duga atau ujian khas.
Oleh itu, adalah penting untuk pelajar memahami syarat khas setiap kursus sebelum membuat pilihan agar tidak meletakkan harapan pada program yang berada di luar julat kelayakan mereka.
Pelajar atau pemohon turut disaran meneliti terlebih dahulu syarat kemasukan setiap program secara terperinci dan menilai kekuatan akademik diri secara realistik.
Mereka juga dinasihatkan supaya memilih kombinasi kursus berdaya saing tinggi, sederhana dan selamat bagi meningkatkan peluang untuk sekurang-kurangnya menerima satu tawaran kemasukan.
Peranan guru, kaunselor serta ibu bapa juga tidak harus diketepikan dalam membantu pelajar membuat keputusan yang lebih tepat. Perbincangan bersama pihak yang lebih berpengalaman boleh memberi perspektif tambahan berkaitan prospek kerjaya, kesesuaian kursus serta cabaran sebenar dalam bidang yang ingin diceburi.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan peluang untuk mendapat tempat di pusat pengajian awam, malah membantu pelajar mengelakkan kekecewaan akibat permohonan tidak realistik.
Selain itu, pelajar digalakkan mencari titik keseimbangan antara minat dan keupayaan supaya bidang pengajian yang dipilih adalah selari dengan kedua-dua aspek ini supaya menjamin kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.
Pelajar lepasan SPM dan STPM serta kelayakan setaraf lain perlu melihat proses permohonan ini sebagai satu strategi perancangan masa depan yang matang dan perlu dilaksana menggunakan maklumat tepat serta penilaian diri yang jujur.
Menurut KPT, proses permohonan kemasukan pelajar melalui sistem UPUOnline dilaksanakan secara telus dan sistematik dengan melibatkan prinsip meritokrasi tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
Dalam konteks ini, pemilihan pelajar adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon layak mengikut merit tertinggi hingga terendah dalam menentukan kelayakan pemohon.
Keputusan UPUOnline dijana mengikut pemarkahan merit yang telah ditetapkan mengikut kursus atau sesuatu program yang dipohon bagi pelajar lepasan SPM, STPM dan kelayakan setara.
Kaedah ini memastikan setiap pemohon mempunyai peluang yang adil tanpa mengira latar belakang dan sangat sesuai bagi mengendalikan jumlah permohonan yang tinggi.
Akhir sekali, pelajar perlu sentiasa peka terhadap tarikh penting, hebahan rasmi serta sebarang perubahan dasar yang diumumkan oleh pihak kerajaan tentang kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ini.
Sikap proaktif dalam mendapatkan maklumat sahih dan terkini akan membantu pelajar membuat keputusan yang lebih tepat dan mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Inisiatif KPT Beri Pendedahan dan Maklumat Kepada Pemohon
Sejak 29 Januari 2026, pihak KPT telah menggerakkan siri jelajah ke 10 zon di Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai maklumat kemasukan ke IPT yang dinamakan sebagai “Karnival Jom Masuk Universiti 2026” (JUM).
Siri jelajah tahun ini bertemakan “DreamX: Inspiring Your Next Step” antara lain turut bertujuan menggalakkan pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma atau setaraf untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Acara perasmian JMU bagi zon utara (Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dijadual berlangsung pada 11 April ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah oleh Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
UUM dipilih selaku tuan rumah Karnival Jom Masuk Universiti 2026 bagi zon utara mulia 11 hingga 12 April yang menjadi platform lepasan sekolah dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di IPT.
Setakat ini, 74 sekolah dari zon utara telah mengesahkan kehadiran ke karnival JUM dan dijangka 15,000 pelajar akan hadir untuk mendapatkan pengalaman, pendedahan dan maklumat tentang kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi.
Sementara itu, 66 pempamer daripada Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti (KK), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan membuka reruai masing-masing bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat.
Ini adalah inisiatif bersepadu KPT bagi membantu menyalurkan maklumat dengan berkesan kepada lepasan SPM, STPM dan kelayakan lain yang setaraf menerusi pelbagai kemudahan dan aktiviti interaktif sesuai dengan peringkat usia golongan sasaran.
Diharapkan platform ini dapat membantu pelajar membuat keputusan lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang program seperti pameran, sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, aktiviti terjah reruai IPT, cabutan bertuah, lawatan kampus, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan, penstriman langsung media sosial dan banyak lagi.
Ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan IPT dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi secara inklusif kepada masyarakat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Azian Nafiah
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik
Universiti Utara Malaysia
e-mel: aziann@uum.edu.my