
SAUDARA PENGARANG
- Jurang besar antara pengetahuan teori dan kemampuan membina kestabilan kewangan yang mampan.
- Simpanan kecemasan rendah dan hutang tinggi menjadikan rakyat mudah terjejas oleh kejutan ekonomi.
- Penggunaan teknologi kewangan meluas tetapi meningkatkan risiko penipuan dan kecurian identiti; celik digital tidak menjamin keselamatan kewangan.
- Perlu pendekatan menyeluruh: tingkatkan pendapatan, perlindungan sosial, dan akses nasihat profesional bukan hanya pendidikan kewangan.
Tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia didapati semakin meningkat mengikut peredaran zaman namun keupayaan serta daya tahan kewangan mereka sebenarnya masih berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat kita semakin terdedah kepada pelbagai maklumat kewangan yang melimpah ruah di pelbagai platfom media digital.
Media sosial kini dipenuhi dengan kandungan berkaitan simpanan, pelaburan, persaraan, saham, emas, kripto sehinggalah kepada teknik pengurusan hutang yang sofistikated.
Penggunaan dompet digital, perbankan dalam talian dan transaksi tanpa tunai juga semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian yang menggambarkan seolah-olah rakyat kita sudah cukup bersedia mendepani cabaran ekonomi moden.
Namun begitu, satu persoalan besar yang perlu ditanya oleh setiap daripada kita adalah adakah peningkatan pengetahuan dan penggunaan teknologi kewangan ini benar- benar menjadikan rakyat lebih kukuh dari segi kedudukan kewangan mereka?
Laporan mengenai keupayaan kewangan dan penggunaan khidmat nasihat di Malaysia tahun 2026 memberikan gambaran yang cukup merisaukan.
Masalah utama rakyat Malaysia hari ini adalah wujudnya jurang yang sangat besar di antara pengetahuan tentang teori kewangan dengan kemampuan sebenar untuk membina kestabilan kewangan yang mampan.
Malah, pendidikan tinggi tidak lagi menjadi jaminan mutlak bahawa seseorang itu akan terlepas daripada belenggu kemiskinan bandar atau bebanan hutang yang menghimpit.
Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin bijak dalam beberapa aspek pengurusan kewangan harian yang bersifat mikro. Ramai yang sudah mempunyai disiplin tinggi untuk membuat bajet bulanan dan membayar bil tepat pada waktunya.
Malahan, mereka bijak menggunakan aplikasi kewangan digital dalam urusan seharian bagi memudahkan pemantauan aliran tunai. Namun di sebalik perkembangan positif tersebut, asas kewangan ramai rakyat sebenarnya masih terlalu rapuh dan mudah goyah apabila dipukul badai ekonomi yang tidak menentu.
Lebih membimbangkan apabila kebanyakkan rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada 10 peratus daripada pendapatan bulanan atau langsung tidak mempunyai simpanan kecemasan untuk digunakan pada waktu mendesak.
Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai jumlah hutang yang sama banyak atau jauh melebihi nilai aset yang di miliki.
Ini memberi gambaran yang sangat jelas bahawa sebahagian besar rakyat hidup dalam keadaan cukup-cukup makan tanpa mempunyai sebarang perlindungan kewangan yang kukuh sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan kronik atau krisis ekonomi berskala besar.
Realiti yang pahit ini sangat berkait rapat dengan tekanan kos sara hidup yang terus meningkat secara drastik saban tahun tanpa menunjukkan tanda-tanda akan menurun.
Harga makanan, perumahan, pendidikan dan pengangkutan memberi tekanan yang sangat hebat kepada isi rumah khususnya bagi golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana yang menetap di kawasan bandar.
Apa yang lebih menarik untuk diteliti adalah kajian tersebut mendapati majoriti responden mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dengan kelulusan tertiari namun mereka masih tergolong dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 bawahan.
Ini membuktikan bahawa kelulusan akademik semata mata tidak lagi mampu menjamin kestabilan kewangan seseorang dalam era ekonomi yang serba mencabar ini.
Generasi muda hari ini memasuki alam pekerjaan dengan cabaran yang jauh lebih kompleks berbanding apa yang dilalui oleh generasi terdahulu.
Gaji permulaan yang rendah, harga rumah yang melampau tinggi serta komitmen pinjaman pendidikan yang bertali arus menyebabkan ramai sukar membina kekayaan walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap yang stabil.
Dalam keadaan yang tersepit sedemikian tidak hairanlah ramai anak muda mula bergantung kepada kemudahan kredit digital dan skim pembayaran seperti beli sekarang bayar kemudian (BNPL) untuk meneruskan gaya hidup harian mereka.
Keadaan ini jika tidak dikawal dengan bijak bakal membawa kepada perangkap hutang yang lebih dalam dan memusnahkan masa depan kewangan mereka.
Pada masa yang sama penggunaan teknologi kewangan berkembang dengan sangat pantas sehingga rakyat kini semakin mahir menggunakan perbankan dalam talian dan pelbagai e-wallet dalam setiap transaksi. Dari satu sudut positif, ia mempercepatkan transaksi dan meningkatkan akses kepada sistem kewangan secara inklusif.
Namun peningkatan penggunaan teknologi turut membawa risiko baharu yang tidak kurang hebatnya seperti kes penipuan kewangan dalam pelaburan dan kecurian identiti yang semakin membimbangkan.
Ramai pengguna sebenarnya mahir menggunakan aplikasi kewangan tersebut tetapi mereka tidak cukup bersedia untuk menghadapi risiko serangan siber yang semakin kompleks dan licik.
Scam atau pelbagai bentuk penipuan kewangan dalam talian juga telah membuktikan bahawa celik digital tidak semestinya bermaksud celik terhadap risiko kewangan.
Malah media sosial yang menjadi sumber utama maklumat kewangan rakyat hari ini turut membuka ruang yang luas kepada penyebaran nasihat kewangan yang tidak tepat dan promosi pelaburan yang sangat meragukan.
Fenomena ini amat berbahaya kerana ramai orang lebih mempercayai kata kata pempengaruh kewangan di internet berbanding penasihat kewangan bertauliah yang mempunyai lesen dan kepakaran sebenar dalam bidang tersebut.
Disebabkan fenomena inilah, berkuat kuasa pada 25 Oktober 2025, undang-undang baharu China terhadap pempengaruh (influencer) telah dikuatkuasakan.
Ia menetapkan bahawa sesiapa yang menghasilkan kandungan berkaitan topik ilmiah yang dianggap sensitif seperti perubatan, undang-undang, pendidikan atau kewangan mesti memiliki kelayakan rasmi dalam bidang tersebut.
Diharap Malaysia juga akan mengikuti jejak langkah ini bagi mengekang penularan maklumat palsu yang boleh membahayakan rakyat Malaysia.
Satu lagi isu yang tidak boleh dipandang remeh ialah tahap persediaan persaraan rakyat Malaysia yang masih berada di tahap yang sangat lemah dan membimbangkan.
Ramai yang masih bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP sebagai satu satunya sumber pendapatan untuk hari tua sedangkan kos kehidupan selepas bersara dijangka akan terus meningkat berkali ganda.
Sebahagian besar masyarakat juga masih kurang memahami instrumen persaraan tambahan seperti Skim Persaraan Swasta atau PRS yang sepatutnya menjadi pelengkap kepada simpanan hari tua mereka.
Ini menunjukkan bahawa budaya merancang persaraan secara serius dan strategik masih belum benar -benar kukuh dalam sanubari rakyat Malaysia.
Hakikatnya disiplin kewangan yang ketat sekalipun tidak akan mencukupi sekiranya tahap pendapatan rakyat tidak berkembang seiring dengan kenaikan kos kehidupan yang menggila.
Rakyat boleh diajar dengan pelbagai teori membuat bajet, cara mengawal perbelanjaan dan menyimpan wang tetapi jika tekanan ekonomi terus menghimpit secara sistemik, kemampuan mereka untuk mengukuhkan kewangan keluarga tetap akan menjadi sangat terbatas.
Oleh itu, usaha meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat tidak boleh bergantung kepada pendidikan kewangan semata mata. Sebaliknya ia memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh melibatkan peningkatan pendapatan sebenar, perlindungan sosial yang lebih luas serta akses kepada nasihat kewangan profesional yang telus.
Malaysia sebenarnya tidak kekurangan rakyat yang celik ilmu kewangan tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah ramai yang masih belum mempunyai kekuatan kewangan yang nyata untuk menghadapi masa depan yang semakin tidak menentu.
Jika isu jurang antara pengetahuan dan keupayaan ini tidak diberi perhatian yang sangat serius oleh pihak kerajaan dan pemegang taruh, kita mungkin akan melahirkan satu generasi yang sangat mahir menggunakan teknologi kewangan terkini tetapi masih gagal mencapai kestabilan kewangan yang mampan untuk diri dan keluarga mereka.
Sudah tiba masanya kita merapatkan jurang ini dengan tindakan yang lebih berani dan berpijak di bumi nyata demi menjamin masa depan ekonomi bangsa yang lebih berdaya tahan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Salina Abdullah
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Melaka