
SAUDARA PENGARANG
- Integrasi VBE dalam pentaksiran untuk menyematkan nilai integriti, empati, amanah dan tanggungjawab dalam pengalaman pembelajaran.
- Mengalihkan fokus daripada budaya gred semata kepada penilaian watak, kematangan emosi dan keaslian pemikiran pelajar.
- Pensyarah sebagai pembentuk karakter perlu hidupkan elemen VBE dan teladan kerana teknologi tidak menggantikan ilmu rasa.
- MQF2024 dan VBE menjadi benteng moral bagi menyelamatkan generasi daripada kecemerlangan teknikal tetapi tandus nilai.
Dewan kuliah universiti hari ini sedang melalui satu fasa peralihan struktur yang sangat besar.
Di serata landskap pendidikan tinggi negara, para pensyarah sedang sibuk mengemas kini proforma kursus, menyusun semula Hasil Pembelajaran Kursus, memperhalusi rubrik pentaksiran, dan menyesuaikan seluruh kandungan pengajaran agar selari dengan acuan baharu kerangka MQF2024.
Pada pandangan skeptikal sesetengah pihak, timbunan tugas ini mungkin kelihatan tidak lebih daripada sekadar rutin pentadbiran yang melelahkan, satu rantaian kerja “mengisi borang” atau senarai semak birokratik demi memenuhi keperluan audit serta akreditasi akademik semata-mata.
Namun hakikatnya, perubahan yang sedang berlaku ini mengandungi falsafah yang jauh lebih besar daripada sekadar urusan pendokumentasian di atas kertas. Ia merupakan sebuah misi keramat untuk menyuntik semula “roh” dan “jiwa” pendidikan yang kian pudar dalam ekosistem akademik moden.
Integrasi Pendidikan Berasaskan Nilai (Value-Based Education – VBE) dalam reka bentuk pentaksiran universiti bukan sekadar usaha kosmetik untuk memperkemas sistem, tetapi merupakan satu percubaan tuntas untuk menyebatikan kompas nilai ke dalam sanubari dan cara berfikir setiap mahasiswa.
Keperluan ini menjadi sangat mendesak memandangkan institusi pendidikan kini sedang berhadapan dengan generasi pelajar yang sangat cerdas secara teknikal, namun berisiko tinggi menjadi rapuh daripada sudut kestabilan emosi dan nilai kemanusiaan.
Generasi Z dan Alpha dilahirkan dalam ekosistem digital yang serba pantas, cekap, dan hiperaktif dengan lambakan maklumat. Mereka sangat celik teknologi, mahir memanipulasi aplikasi, serta cekap menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengakses ilmu dalam garis masa beberapa saat sahaja.
Bagaimanapun, di sebalik kehebatan kognitif tersebut, wujud satu lompang besar yang kian membimbangkan iaitu ancaman “kemiskinan ilmu rasa”.
Dunia hari ini menyaksikan rantaian ironi apabila mahasiswa mungkin sangat bijak menghafal dan menjawab teori etika di atas kertas peperiksaan, tetapi gagal menterjemahkan nilai empati dalam realiti kehidupan seharian.
Mereka mampu menghasilkan tugasan atau projek yang kelihatan sempurna dengan bantuan algoritma AI, tetapi dalam masa yang sama bergelut untuk menguruskan emosi kendiri, culas menghormati perbezaan pandangan rakan sebaya, serta canggung untuk membina hubungan sesama manusia secara tulus.
Dalam ruang ketandusan inilah, VBE hadir sebagai jawapan struktural untuk mengembalikan keseimbangan tersebut.
Nilai Sebagai Acuan Jati Diri Mahasiswa
Sudah tiba masanya pihak universiti berhenti melihat pentaksiran semata-mata sebagai alat mekanikal untuk mengukur tahap kecerdasan IQ dan pencapaian akademik pelajar.
Tugasan kuliah, projek berkumpulan, dan rubrik pemarkahan tidak boleh lagi bersifat “kering”, kaku, dan hanya berorientasikan pemburuan markah.
Pendidikan tinggi mesti dikembalikan kepada fitrah asalnya, iaitu sebagai medan untuk “memaknusiakan manusia”, dan bukannya sekadar kilang untuk memproses tenaga kerja industri.
Nilai-nilai teras seperti integriti, empati, amanah, kelestarian, dan tanggungjawab moral wajib disebatikan secara organik dalam Pentaksiran Berterusan serta pengalaman pembelajaran harian pelajar.
Sebagai contoh, seorang mahasiswa dalam bidang pengurusan atau perakaunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kecekapan mereka mengira lembaran imbangan atau menghafal teori tadbir urus sahaja.
Mereka perlu dilatih untuk memahami implikasi “ilmu rasa” dan kemanusiaan di sebalik setiap keputusan angka yang mereka buat.
Begitu juga dengan pelajar bidang teknologi, mereka bukan sekadar perlu mahir membina kod sistem atau algoritma, tetapi mesti disuntik dengan kesedaran moral tentang impak ciptaan mereka terhadap hak privasi dan kesejahteraan masyarakat awam.
Nilai murni yang diterapkan secara konsisten melalui subjek harian ini akan bertindak sebagai acuan yang membentuk struktur jati diri pelajar. Acuan watak inilah yang akhirnya akan menentukan integriti mereka apabila melangkah keluar ke alam kerjaya kelak.
Negara sudah tidak memerlukan lambakan graduan yang hanya bijak berbicara tentang akauntabiliti di dalam dewan kuliah, tetapi akhirnya tumpas apabila berhadapan dengan badai rasuah, manipulasi data, atau penindasan hak pekerja di luar sana.
Kita memerlukan akauntan yang meletakkan rasa takut mengkhianati amanah melebihi segala-galanya, jurutera yang mengutamakan keselamatan nyawa manusia berbanding margin keuntungan, serta pengurus yang mempunyai hati nurani yang utuh semasa memimpin organisasi.
Pensyarah Bukan Sekadar Mengajar, Tetapi Membentuk
Dalam era ledakan AI, peranan tradisional pendidik sedang mengalami cabaran eksistensial yang hebat. Teknologi masa kini sudah mampu menghasilkan nota kuliah yang komprehensif, merumuskan artikel jurnal yang tebal, malah menyediakan draf jawapan tugasan dalam tempoh yang sangat singkat.
Namun, satu perkara yang perlu disedari ialah teknologi sama sekali tidak akan mampu menurunkan aspek “ilmu rasa” dan keteladanan. Mesin boleh membekalkan data dan maklumat, tetapi ia tidak mempunyai jiwa untuk mempamerkan keindahan adab, belas kasihan, dan nilai kemanusiaan.
Di sinilah peranan seseorang pensyarah menjadi jauh lebih kritikal dan tidak boleh digantikan oleh mana-mana robot. Pensyarah pada hari ini bukan lagi sekadar ejen penyampai kandungan silibus kursus, sebaliknya bertindak sebagai arkitek pembentuk karakter manusia.
Transformasi ini menuntut anjakan paradigma dalam aspek pedagogi agar menjadi lebih kreatif, reflektif, dan berjiwa.
Elemen VBE perlu dihidupkan secara halus dalam setiap bab pengajaran. Pentaksiran tugasan berkumpulan, misalnya, tidak seharusnya diberikan markah tinggi hanya kerana kecantikan persembahan slaid atau kelancaran pembentangan teknikal.
Rubrik pentaksiran baharu perlu berani menilai aspek bagaimana pelajar menguruskan konflik dalaman kumpulan, bagaimana mereka mempamerkan rasa hormat terhadap idea rakan, serta sejauh mana mereka mampu mengawal emosi apabila berhadapan dengan tekanan tugasan.
Dalam dunia mahasiswa hari ini yang semakin rapuh dan mudah terdedah kepada isu kesihatan mental, pengasingan sosial, serta budaya toksik di media sosial, bilik kuliah universiti sepatutnya bertindak sebagai sebuah ruang selamat untuk mereka membina benteng adab dan kematangan jiwa
Cabaran di Tengah Arus “Gred-Centric”
Bagaimanapun, usaha untuk memaknusiakan semula dunia pendidikan ini bukanlah satu jalan yang mudah untuk dilalui. Cabaran paling utama sudah semestinya datang daripada budaya “gred-centric” yang telah sekian lama menebal dalam pemikiran masyarakat dan pelajar.
Bagi kebanyakan mahasiswa, indikator tunggal kepada sebuah kejayaan akademik sering kali diukur secara mutlak melalui deretan gred A dalam transkrip dan timbunan angka PNGK yang tinggi.
Akibat daripada taksub gred ini, wujud trend membimbangkan di mana pelajar cenderung untuk memburu markah semata-mata dengan mengetepikan penghayatan nilai.
Pelajar mungkin sangat cemerlang menulis esei kritis mengenai kepentingan integriti akademik, namun dalam masa yang sama tidak berasa bersalah untuk meniru tugasan rakan atau bergantung sepenuhnya kepada jawapan yang dijana oleh mesin AI tanpa ada proses pemikiran kritis yang asli daripada diri mereka sendiri.
Pada masa yang sama, para pensyarah sendiri turut berhadapan dengan kekangan masa serta bebanan tugas pentadbiran yang semakin mencabar.
Mereka terpaksa mengimbangi masa antara tuntutan silibus yang padat, urusan pengurusan fail kualiti, tuntutan penyelidikan dan penerbitan, dengan tanggungjawab moral untuk menjadi pembimbing emosi kepada para pelajar yang sedang mengalami tekanan psikologi di kampus.
Kehadiran teknologi AI turut membuka dimensi cabaran baharu yang kompleks. Pensyarah kini perlu meletakkan usaha berganda untuk membezakan antara hasil penulisan yang lahir daripada cetusan pemikiran manusiawi pelajar dengan tugasan yang dihasilkan secara tiruan oleh algoritma.
Cabaran sebenar di sini bukan lagi sekadar isu teknikal mengesan plagiat, tetapi bagaimana kita mahu memastikan mahasiswa tidak kehilangan suara kemanusiaan, identiti intelektual, dan keaslian berfikir dalam diri mereka sendiri.
Dalam fasa dunia yang semakin dipacu oleh kepantasan algoritma dan keterpautan pada skrin sentuh, universiti sama sekali tidak boleh tunduk untuk menjadi sekadar kilang komersial yang melahirkan graduan yang laku di pasaran tetapi kosong jiwanya.
Tanggungjawab paling agung sesebuah institusi menara gading adalah untuk memulangkan kembali manusia yang beradab, berintegriti, dan mempunyai hati nurani kepada masyarakat.
Pengenalan MQF2024 serta penekanan tegar terhadap integrasi VBE bukannya sekadar satu lagi siri perubahan dasar akademik yang bersifat kosmetik.
Ia merupakan satu ikhtiar dan benteng pertahanan moral yang sangat penting bagi menyelamatkan generasi masa hadapan daripada menjadi kelompok manusia yang cemerlang menguasai teknologi tinggi, namun pada masa yang sama mengalami muflis kemanusiaan dan tandus ilmu rasa.
Ia kerana pada akhirnya, sebuah negara bangsa yang utuh tidak akan pernah dibina oleh kehebatan mesin atau kecerdasan buatan semata-mata, melainkan oleh manusianya yang masih memiliki sekeping hati.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nur Fadhlina Mohamad Zabidey
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Pengurusan dan Informasi (Pengurusan)
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor
E-mel: nurfadhlina@uis.edu.my