Harta beku, waris buntu: Sampai bila?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pentadbiran pusaka berlapis dan tumpang tindih prosedur menyebabkan harta beku dan proses tuntutan berpanjangan.
  • Kelewatan pembahagian pusaka mencetuskan pertikaian keluarga, kerugian ekonomi, aset terbiar dan gangguan nafkah anak.
  • Pindaan Akta Pusaka Kecil (A1643) memudahkan tuntutan: had dinaikkan kepada RM5 juta, skop diperkembangkan dan proses boleh dijalankan dalam talian.
  • Penyelarasan agensi, integrasi digital, pendidikan awam dan perancangan harta semasa hidup perlu digiatkan untuk mengurangkan harta beku.

Dalam denyut nadi masyarakat moden yang semakin pantas, ada satu ironi yang terus berakar tanpa banyak perubahan: Harta yang ditinggalkan oleh si mati sering kali tidak “mati dengan tenang”.

Sebaliknya, ia terperangkap dalam kebekuan sistem perundangan dan pentadbiran. Ia seperti sungai yang terhalang oleh empangan birokrasi; airnya ada, tetapi tidak mengalir; nilainya wujud, tetapi tidak berfungsi.

Data menunjukkan bahawa nilai harta pusaka orang Islam atau harta beku yang belum diurus di Malaysia sering dianggarkan pada jumlah yang sangat besar.

Laporan media tempatan pada 21 Julai 2025 melaporkan sekitar RM90 bilion harta pusaka tidak dituntut atau beku termasuk tanah, wang simpanan, saham dan rumah, dengan kira-kira 70,000 kes pusaka Islam masih belum selesai.

Pada masa yang sama, terdapat juga anggaran lain yang menyatakan jumlah tersebut telah melebihi RM100 bilion, dengan sebahagian besar dikaitkan dengan masyarakat Melayu (IKIM, 2025).

Namun begitu, kerajaan melalui jawapan Parlimen pada 23 Oktober 2024 menjelaskan bahawa angka RM100 bilion itu adalah tidak tepat dan masih boleh dipertikaikan.

Walau apa pun angka atau statistik yang dikeluarkan, masih boleh disimpulkan bahawa nilai harta pusaka orang Islam yang tidak diuruskan adalah tinggi dan perlu diberikan perhatian.

Isu kelewatan pengurusan harta pusaka di Malaysia bukan perkara baharu. Ia telah lama menjadi luka sosial dalam keluarga, khususnya apabila waris tidak memahami prosedur, dokumen tidak lengkap, harta tidak dikenal pasti dengan jelas, atau pertikaian muncul sebelum pembahagian sempat diselesaikan.

Di sebalik kewujudan pelbagai institusi yang mengurus pusaka, satu persoalan besar masih berlegar: Mengapa harta peninggalan si mati sering mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan, bahkan ada yang berlarutan hingga generasi kedua atau ketiga?

Di sinilah letaknya isu utama yang perlu direnung secara jujur, iaitu pertindihan prosedur, kekeliruan bidang kuasa dan kelemahan penyelarasan dalam pengurusan harta pusaka.

Bagi orang Islam, isu ini menjadi lebih sensitif kerana hukum faraid sebenarnya sudah menetapkan hak waris dengan jelas. Namun dalam pelaksanaan, hak yang jelas itu kadang-kadang tertangguh kerana laluan pentadbiran yang panjang dan berlapis.

Sistem yang Berlapis, Harta yang Terperangkap

Malaysia mempunyai sistem pentadbiran pusaka yang unik tetapi kompleks. Terdapat Mahkamah Syariah yang mengeluarkan sijil faraid bagi orang Islam, Mahkamah Sivil yang menguruskan probet dan surat kuasa mentadbir dalam keadaan tertentu, serta agensi seperti Amanah Raya Berhad, Pejabat Pembahagian Pusaka dan Pejabat Tanah.

Dalam teori, kepelbagaian institusi ini bertujuan memperkemas urusan. Namun dalam realiti, ia kadang-kadang menjadi labirin yang membingungkan waris.

Seperti kata bidalan Melayu, “yang seekor diburu, yang sekawan hilang”, niat untuk menyelesaikan satu harta akhirnya boleh membuka banyak cabang prosedur yang memakan masa dan tenaga.

Waris yang tidak memahami sistem sering terperangkap dalam kitaran dokumen, rujukan, carian hak milik, penentuan waris dan kehadiran perbicaraan yang tidak berkesudahan.

Lebih parah, terdapat keadaan di mana harta tidak dapat dituntut kerana statusnya bercampur: Tanah belum ditukar milik, akaun bank beku, kenderaan masih atas nama si mati, saham tidak diurus, atau aset tidak didaftarkan dengan jelas.

Maka lahirlah fenomena “harta beku”, satu istilah yang kini menjadi simbol kepada harta yang bernilai, tetapi tidak dapat dimanfaatkan oleh keluarga yang berhak.

Antara Prinsip Syariah dan Realiti Birokrasi

Dari sudut prinsip, hukum faraid dalam Islam adalah sistem yang jelas, terperinci dan adil. Ia menetapkan hak waris menurut ketentuan syarak. Namun pelaksanaannya dalam konteks pentadbiran moden sering berdepan kekangan prosedural.

Dalam banyak keadaan, hukum sudah menentukan siapa yang berhak, tetapi proses pentadbiran masih memerlukan dokumen, pengesahan, perintah pembahagian dan urusan pindah milik.

Di sinilah timbulnya paradoks: Syariah yang sepatutnya memudahkan pembahagian harta boleh menjadi tertangguh apabila proses pentadbiran tidak berjalan lancar. Maka tidak hairanlah jika ada waris yang berkata secara sinis, “harta sudah dibahagi di langit, tetapi masih menunggu giliran di bumi.”

Kelewatan ini bukan sekadar isu teknikal. Ia adalah isu sosial. Ia boleh mencetuskan pergaduhan adik-beradik, memutuskan silaturahim, menangguhkan pendidikan anak-anak, melemahkan ekonomi keluarga dan menyebabkan tanah atau aset yang sepatutnya produktif terus terbiar.

Kos Kelewatan: Lebih daripada Sekadar Masa

Kelewatan dalam pengurusan harta pusaka bukan hanya soal masa. Ia juga soal kehilangan nilai ekonomi dan sosial. Tanah yang tidak diurus menjadi semak, rumah pusaka rosak tanpa penyelenggaraan, akaun bank tidak dapat dimanfaatkan, dan peluang pelaburan keluarga terhenti begitu sahaja.

Dalam erti kata lain, harta yang sepatutnya menjadi sumber kesejahteraan berubah menjadi beban senyap yang membeku.

Lebih menyedihkan, generasi muda sering kehilangan hubungan dengan warisan keluarga kerana proses yang terlalu panjang. Mereka tidak lagi melihat harta sebagai amanah, tetapi sebagai “masalah pentadbiran”. Di sinilah berlaku peralihan nilai yang halus tetapi berbahaya.

Seperti kata peribahasa, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Namun dalam konteks pusaka yang tidak selesai, ramai yang mati meninggalkan fail tertangguh, tanah tidak bertuan secara praktikal, dan hubungan keluarga yang retak kerana hak tidak segera diselesaikan.

Apabila Undang-Undang Mula Membuka Jalan

Namun di tengah-tengah kerumitan ini, terdapat perkembangan yang wajar diberi perhatian. Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 melalui Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 atau Akta A1643 telah mula berkuat kuasa pada 15 Julai 2024.

Pindaan ini bukan sekadar perubahan teknikal dalam teks undang-undang, tetapi satu usaha untuk menjadikan pengurusan pusaka kecil lebih sesuai dengan realiti semasa rakyat.

Antara perubahan penting ialah had nilai harta pusaka kecil dinaikkan kepada tidak melebihi RM5 juta. Selain itu, harta pusaka kecil kini merangkumi harta alih sahaja, harta tak alih sahaja, atau gabungan kedua-duanya.

Dalam bahasa mudah, harta seperti tanah, rumah, wang simpanan, saham dan kenderaan boleh dimasukkan dalam kerangka pusaka kecil selagi memenuhi syarat nilai yang ditetapkan.

Kebaikan pindaan ini kepada rakyat amat besar. Pertama, lebih banyak keluarga kini boleh menggunakan saluran pusaka kecil tanpa perlu terus melalui proses yang lebih rumit dan mahal. Ini amat penting kerana nilai hartanah hari ini semakin meningkat.

Sebuah rumah, sebidang tanah dan beberapa aset keluarga boleh mencecah nilai yang tinggi walaupun pemiliknya bukan golongan berada. Maka, peningkatan had kepada RM5 juta adalah pengiktirafan bahawa undang-undang pusaka perlu bergerak seiring dengan realiti ekonomi rakyat.

Kedua, peluasan skop kepada harta alih dan tak alih menjadikan proses lebih menyeluruh. Sebelum ini, antara punca harta terus beku ialah aset keluarga wujud dalam pelbagai bentuk: Tanah di kampung, wang simpanan di bank, kenderaan, saham, takaful atau pelaburan kecil.

Apabila saluran pusaka kecil dapat menampung lebih banyak jenis harta, waris tidak perlu terlalu mudah terperangkap dalam kekeliruan prosedur yang berasingan.

Ketiga, pindaan ini memberi ruang kepada proses yang lebih tersusun melalui peranan Pegawai Pembahagian Harta Pusaka dan struktur penyeliaan yang lebih jelas.

Akta A1643 memperkenalkan jawatan seperti Presiden Pembahagian Harta Pusaka dan Pegawai Pembahagian Harta Pusaka, termasuk kuasa menentukan bidang kuasa wilayah pegawai yang mengendalikan pembahagian pusaka. Ini penting kerana banyak kes pusaka menjadi rumit apabila harta berada di daerah atau negeri yang berbeza.

Keempat, pindaan ini turut memperkenalkan ruang pembahagian ringkas bagi kes tertentu, khususnya apabila permohonan melibatkan harta alih sahaja dengan nilai tertentu yang lebih kecil.

Peruntukan ini membantu mengelakkan kes mudah daripada terperangkap dalam prosedur yang terlalu berat. Dalam kehidupan rakyat biasa, inilah bezanya antara harta yang boleh segera dimanfaatkan dengan harta yang terus menjadi angka di atas kertas.

Mengurangkan Harta Beku Orang Islam

Bagi orang Islam, pindaan ini tidak mengubah prinsip faraid. Pembahagian harta pusaka orang Islam tetap berpandukan hukum faraid, manakala pembahagian secara muafakat boleh dilakukan jika semua waris yang berhak bersetuju.

JKPTG turut menjelaskan bahawa harta pusaka orang Islam dibahagikan mengikut hukum faraid, sementara pembahagian secara muafakat boleh dibuat sekiranya semua waris bersetuju.

Maka, kebaikan utama pindaan ini bukanlah pada perubahan hukum faraid, tetapi pada pemudahan laluan pentadbiran untuk melaksanakan faraid. Selama ini, masalah harta pusaka beku dalam kalangan orang Islam sering berlaku bukan kerana faraid itu kabur, tetapi kerana proses untuk melaksanakannya tersangkut.

Ada waris yang tidak hadir, ada dokumen tidak lengkap, ada aset tidak diisytiharkan, ada tanah masih atas nama si mati, dan ada keluarga yang menangguhkan tuntutan sehingga berlaku “kematian berlapis”.

Kematian berlapis inilah antara punca besar kekusutan pusaka. Apabila seorang waris meninggal dunia sebelum pusaka asal selesai, bilangan waris bertambah, pecahan faraid menjadi lebih rumit, dan proses yang sepatutnya sederhana bertukar menjadi simpulan yang sukar dirungkaikan.

Harta yang pada awalnya milik seorang si mati akhirnya terpecah kepada waris demi waris, nama demi nama, dan generasi demi generasi.

Dalam konteks ini, pindaan Akta Pusaka Kecil memberi nafas baharu. Ia membolehkan lebih banyak kes pusaka keluarga Islam disalurkan melalui mekanisme yang lebih sesuai, lebih jelas dan lebih dekat dengan keperluan rakyat.

Apabila had nilai dinaikkan, skop harta diperluas dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem MyLAND, proses tuntutan menjadi lebih mudah dimulakan oleh waris.

Inilah manfaat paling besar kepada umat Islam: Faraid tidak lagi hanya menjadi hak yang diketahui, tetapi hak yang lebih berpeluang sampai kepada waris. Undang-undang yang baik bukan sekadar menentukan siapa yang berhak, tetapi turut memastikan hak itu boleh dilaksanakan dalam masa yang munasabah.

Keperluan kepada Penyelarasan

Satu perkara yang perlu diakui secara jujur ialah sistem pengurusan harta pusaka di Malaysia tidak kekurangan undang-undang, tetapi masih memerlukan penyelarasan yang lebih berkesan. Setiap institusi mempunyai mandat masing-masing, namun integrasi dari segi proses, data dan kefahaman rakyat masih perlu diperkukuh.

Ketiadaan satu sistem pusat yang benar-benar menyeluruh menyebabkan waris sering perlu “berlari dari satu pintu ke satu pintu”. Dalam dunia digital hari ini, keadaan ini ibarat masih menggunakan surat tangan dalam era komunikasi segera.

Kritikan ini bukan untuk merendahkan mana-mana institusi, tetapi sebagai cermin untuk melihat realiti dengan lebih jujur.

Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil adalah langkah ke hadapan. Namun ia bukan ubat ajaib yang menyelesaikan semua masalah. Ia perlu disokong dengan pendidikan masyarakat, kaunter nasihat yang mesra rakyat, integrasi digital antara agensi, latihan pegawai yang berterusan dan kesedaran waris untuk tidak menangguhkan tuntutan.

Antara Reformasi Undang-Undang dan Kesedaran Masyarakat

Isu harta beku tidak akan selesai dengan pindaan undang-undang semata-mata. Undang-undang boleh membuka jalan, tetapi masyarakat perlu berjalan di atas jalan itu.

Waris perlu berani memulakan proses tuntutan dengan segera. Pemilik harta pula perlu menyusun dokumen semasa hidup, menyenaraikan aset, menjelaskan hutang, memaklumkan waris tentang dokumen penting dan mendapatkan nasihat pusaka yang sah.

Bagi orang Islam, perancangan harta bukan bermaksud menolak faraid. Sebaliknya, ia adalah usaha memastikan faraid dapat dilaksanakan tanpa pertikaian dan kelewatan.

Hibah, wasiat dalam had syarak, penama yang betul, rekod hutang dan dokumen hak milik yang lengkap semuanya boleh membantu mengurangkan kekusutan selepas kematian.

Dalam hal ini, pindaan Akta Pusaka Kecil wajar dilihat sebagai peluang. Ia memberi ruang kepada rakyat untuk menyelesaikan lebih banyak kes pusaka melalui proses yang lebih sesuai dengan realiti semasa.

Ia juga memberi peluang kepada keluarga Islam untuk memastikan harta tidak terus beku hanya kerana waris tidak tahu ke mana harus bermula.

Kesimpulan

Isu harta pusaka di Malaysia bukan sekadar isu perundangan teknikal. Ia adalah isu amanah, keadilan sosial dan keberkesanan sistem. Setiap kelewatan membawa kesan berantai yang tidak hanya melibatkan harta, tetapi juga hubungan keluarga, ekonomi umat dan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan.

Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil yang berkuat kuasa pada 2024 adalah satu langkah penting. Dengan had nilai dinaikkan kepada RM5 juta, skop harta diperluas kepada harta alih dan tak alih, struktur pentadbiran diperkemas, serta permohonan digital diperluas, rakyat kini mempunyai ruang yang lebih baik untuk menyelesaikan pusaka dengan lebih cepat dan teratur.

Namun pembaharuan undang-undang hanya akan bermakna jika disambut dengan kesedaran masyarakat. Waris perlu bertindak awal. Institusi perlu terus menyelaras. Pemilik harta perlu merancang semasa hidup. Jika tidak, harta akan terus membeku, bukan kerana tiada undang-undang, tetapi kerana tiada tindakan.

Maka, mungkin sudah tiba masanya kita merenung kembali satu bidalan yang penuh makna: “yang lama dijunjung, yang baru ditatang”. Sistem lama yang baik perlu dipertahankan, tetapi kelemahannya perlu diperbaiki. Sistem baharu pula perlu dimanfaatkan, bukan sekadar dipuji di atas kertas.

Ia kerana harta pusaka seharusnya menjadi jambatan kasih sayang antara generasi, bukan jurang pertikaian yang tidak bertepi. Dan sebelum semuanya terlambat, mungkin kita perlu bertanya dengan jujur, bukan kepada sistem semata-mata, tetapi kepada diri kita sendiri: Adakah kita sedang menguruskan harta, atau sedang membiarkan harta itu mengurus kita dalam kebekuan yang tidak berkesudahan?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof Madya Dr. Nasrul Hisyam Nor Muhamad
Pengerusi/Pensyarah
Akademi Tamadun Islam
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia, Johor
E-mel: nasrul@utm.my