Bila tekanan kerja tidak lagi boleh dipandang ringan

Gambar hiasan janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan kerja dan ketua toksik bukan perkara biasa; ia boleh merosakkan kesihatan mental pekerja.
  • Majikan wajib memastikan tempat kerja selamat; persekitaran yang menjejaskan kesihatan mental termasuk dalam tanggungjawab undang-undang.
  • Pekerja perlu akui masalah, tetapkan batasan, rekod kejadian dan dapatkan sokongan profesional atau saluran aduan jika perlu.

Pertemuan dengan sahabat lama bermula dengan satu perbualan biasa—tentang keluarga, kerjaya, dan pengajian sarjananya. Pengajian yang suatu ketika dahulu begitu hampir ke garisan penamat. Jawapannya ringkas, tetapi sarat makna: “Saya tangguh dulu… sebab kesihatan.”

Pada awalnya penulis menyangka ia masalah fizikal. Namun selepas bercerita panjang, barulah penulis sedar bahawa kesihatan yang dimaksudkan ialah kesihatan mental. Beliau masih berada dalam rawatan dan perlu mengambil 17 jenis ubat setiap hari.

Apa yang lebih menyentak emosi, punca kepada keadaan itu ialah tekanan kerja dan sikap seorang ketua yang toksik. Punca ini sering dianggap perkara biasa, sedangkan hakikatnya ia merupakan isu serius yang wajar diberi perhatian.

Sejak beliau mempunyai seorang ketua baharu, kehidupan beliau dan rakan sekerja berubah sepenuhnya. Sebelum ini mereka bekerja dalam suasana yang gembira dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Kini, mereka terpaksa bekerja dalam tekanan.

Ketua baharu sering marah-marah, meninggikan suara, mengherdik pekerja di hadapan orang lain. Kesilapan kecil diperbesar, usaha yang baik jarang dihargai dan suasana kerja sentiasa tegang.

Beliau diberi beban kerja yang banyak pada saat akhir dan perlu disiapkan segera. Semua arahannya adalah untuk mencapai KPI sebagai ketua. Pada mulanya, beliau cuba bertahan dan cuba memujuk diri sendiri bahawa ini hanyalah “stres kerja biasa”.

Namun tekanan yang berpanjangan akhirnya memakan diri, sehingga menjejaskan kesihatan mental dan memaksa beliau menangguhkan impian akademiknya.

Kisah ini membuatkan penulis tertanya-tanya: Berapa ramai lagi yang sedang melalui situasi yang sama, namun memilih untuk berdiam diri?

Stres Tidak Datang dalam Satu Bentuk Sahaja

Apabila bercakap tentang stres dan kemurungan, ramai membayangkan beban kerja yang banyak atau tarikh akhir yang bertindih. Hakikatnya, punca stres di tempat kerja jauh lebih banyak dan pelbagai.

Antaranya ialah tekanan emosi akibat dimarahi atau dipermalukan secara berulang, ketakutan untuk melakukan kesilapan kerana budaya menyalahkan, beban kerja yang tidak seimbang, menerima ugutan, buli, serta perasaan tidak selamat kerana layanan ketua yang sukar dijangka.

Ada juga stres yang berpunca daripada persekitaran kerja yang sentiasa tegang, komunikasi yang kasar, atau ketiadaan sokongan apabila pekerja memerlukan bantuan. Lama-kelamaan, stres ini berubah menjadi keletihan emosi, gangguan tidur, keresahan berpanjangan dan akhirnya kemurungan.

Masalahnya, ramai pekerja tidak sedar bahawa keadaan ini bukan perkara normal yang perlu diterima.

Apa Kaitan Tekanan Ini dengan Tanggungjawab Majikan?

Ramai juga tidak mengetahui bahawa di Malaysia, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja.

Tanggungjawab ini tidak terhad kepada mengelakkan kemalangan fizikal semata-mata. Persekitaran kerja yang menjejaskan kesihatan mental juga boleh termasuk dalam skop tanggungjawab tersebut.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), khususnya Seksyen 15, majikan diwajibkan menyediakan tempat kerja yang selamat dan tidak memudaratkan pekerja.

Walaupun akta ini sering dikaitkan dengan keselamatan fizikal, persekitaran kerja yang menjejaskan kesihatan mental akibat tekanan melampau, sistem kerja yang tidak munasabah atau pengurusan yang bermasalah juga boleh memberi kesan serius terhadap kesejahteraan pekerja.

Dengan kata lain, bekerja dalam suasana yang sentiasa menakutkan, menekan emosi atau merosakkan kesihatan mental bukanlah sesuatu yang perlu didiamkan.

Apa Pekerja Boleh Lakukan?

Bagi pekerja yang merasakan diri mereka terperangkap dalam situasi sebegini, langkah pertama ialah mengakui bahawa apa yang dialami itu bukan kelemahan diri. Stres yang berpanjangan bukan tanda seseorang itu tidak cekal, sebaliknya petunjuk awal bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam persekitaran kerja.

Dalam keadaan ini, penting untuk pekerja sedar bahawa menjaga diri sendiri bukan bermaksud mementingkan diri. Berkata tidak kepada tugasan yang melampaui kemampuan juga bukan tanda sikap negatif atau jahat.

Menetapkan batasan dan menolak kerja secara berhemah adalah sebahagian daripada usaha melindungi kesihatan fizikal dan mental. Pekerja berhak menjaga kesejahteraan diri tanpa rasa bersalah, kerana tekanan dan keletihan yang berpanjangan hanya akan membawa kesan yang lebih serius dalam jangka panjang.

Antara langkah awal yang boleh diambil ialah mula merekodkan dan menyimpan kejadian yang berlaku, seperti insiden dimarahi, ugutan halus, atau arahan kerja yang melampau sama ada dalam bentuk mesej, e-mel, atau dokumen berkaitan. Rekod perubatan juga wajar disimpan sebagai rujukan sekiranya tindakan lanjut diperlukan pada masa hadapan.

Selain itu, mendapatkan sokongan profesional seperti menjalani saringan kesihatan mental atau menerima rawatan merupakan langkah yang amat penting. Usaha ini bukan sahaja membantu dari sudut pemulihan diri, malah berfungsi sebagai dokumentasi yang menunjukkan kesan tekanan kerja terhadap kesejahteraan mental seseorang pekerja.

Pekerja juga boleh mempertimbangkan penggunaan saluran dalaman organisasi sekiranya ada, seperti berbincang dengan pihak sumber manusia atau pegawai atasan lain.

Jika keadaan tidak berubah dan tekanan terus menjejaskan kesihatan, mendapatkan maklumat mengenai saluran laporan yang sesuai merupakan satu langkah yang wajar. Tindakan ini bukan bertujuan untuk bermusuhan, sebaliknya sebagai usaha melindungi diri dan menghentikan kitaran tekanan yang berpanjangan.

Dalam masa yang sama, pekerja perlu mengetahui hak mereka serta saluran yang boleh dirujuk sekiranya persekitaran kerja mula menjejaskan kesejahteraan diri. Kesedaran ini penting bukan sahaja untuk melindungi pekerja, malah membantu semua pihak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pada peringkat organisasi, majikan juga perlu sedar bahawa sebarang laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan akan dinilai mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sekiranya segala usaha dalaman tidak diendahkan dan tekanan kerja tersebut berpunca daripada cara kerja, sistem pengurusan atau persekitaran kerja yang menjejaskan kesihatan pekerja, pekerja boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai saluran aduan yang sesuai, termasuk Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH.

Bagaimanapun, sebarang laporan yang dibuat akan dinilai berdasarkan kewajipan majikan bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Oleh itu, bukti yang relevan seperti rekod kerja, dokumentasi perubatan atau rekod kejadian amat penting bagi membantu pihak berkuasa menilai situasi sebenar.

Kesedaran Merupakan Langkah Pertama

Kisah sahabat penulis membuka mata bahawa tekanan kerja bukan isu remeh yang boleh dipandang ringan. Ketua yang suka menengking atau merendahkan pekerja mungkin menganggap perbuatan itu sebagai ketegasan, tetapi kesannya boleh berpanjangan dan mendalam.

Penulisan ini bukan bertujuan menakutkan pembaca atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk meningkatkan kesedaran bahawa setiap individu berhak bekerja dalam persekitaran yang selamat, sihat dan bermaruah. Kesihatan mental bukan harga yang perlu dibayar untuk sebuah pekerjaan, dan berdiam diri bukan satu-satunya pilihan.

Kadang-kadang, kesedaran sahaja sudah cukup untuk mengubah sesuatu sama ada seorang pekerja yang berani mendapatkan bantuan atau seorang ketua yang mula berfikir sebelum membuat tindakan yang kurang bermaruah. Penulis berharap daripada satu kisah kecil ini, lebih ramai pekerja akan sedar bahawa tekanan kerja boleh ditangani, bukan ditanggung sendirian.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Salina Mohammed Rashid
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: salinarashid@uis.edu.my


Nadwatul Husna Mustapa
Pensyarah
Pengurusan Sumber Manusia
Universiti Islam Selangor
E-mel: nadwatul@uis.edu.my