
SAUDARA PENGARANG
- Ketakutan kanak-kanak sering terbentuk sebelum prosedur melalui komunikasi dan imaginasi, bukan semata-mata kerana kesakitan.
- Gurauan atau hinaan orang dewasa boleh memberi tekanan emosi dan menyebabkan pengalaman bersunat menjadi trauma komunikasi.
- Kandungan media sosial mendedahkan kanak-kanak kepada ketakutan orang lain, membentuk kecemasan lebih kompleks melalui algoritma.
- Ibu bapa perlu menjadi pengurus emosi, menggunakan sokongan, empati dan penjelasan supaya anak membina kepercayaan terhadap rawatan.
Setiap kali musim cuti sekolah tiba, ramai ibu bapa mula membuat persiapan membawa anak lelaki bersunat. Dalam masyarakat Malaysia, perkara ini dianggap tradisi biasa sehingga ramai melihatnya hanya sebagai prosedur perubatan atau tuntutan agama semata-mata.
Namun apa yang ramai tidak sedar ialah pengalaman bersunat sebenarnya sangat berkait rapat dengan komunikasi, psikologi dan pembentukan emosi kanak-kanak.
Ramai menyangka ketakutan anak sebelum bersunat berpunca daripada rasa sakit. Hakikatnya, dalam bidang komunikasi dan psikologi kanak-kanak, ketakutan itu sering terbentuk lebih awal melalui komunikasi sosial di sekeliling mereka.
Cerita menakutkan daripada rakan, gurauan orang dewasa, video dramatik di media sosial dan ancaman berbentuk jenaka sebenarnya membina “ketakutan komunikasi” dalam minda kanak-kanak sebelum mereka masuk ke bilik rawatan lagi.
Ketakutan Bermula Melalui Bahasa
Apa yang ramai tidak tahu ialah otak kanak-kanak sangat mudah membina imaginasi berdasarkan komunikasi yang diterima. Apabila mereka sering mendengar ayat seperti “nanti sakit”, “jangan lari”, “darah banyak keluar” atau “kalau menangis malu”, otak mula menghasilkan gambaran negatif walaupun mereka belum melalui pengalaman tersebut.
Dalam komunikasi interpersonal, fenomena ini dikenali sebagai anticipatory anxiety iaitu ketakutan yang terbentuk sebelum sesuatu berlaku akibat pengaruh komunikasi dan imaginasi sosial. Ini menjelaskan mengapa ada kanak-kanak mula menangis beberapa hari sebelum bersunat walaupun belum menjalani prosedur sebenar.
Lebih menarik, kajian psikologi komunikasi menunjukkan bahawa nada suara, ekspresi wajah dan reaksi ibu bapa juga boleh “dipindahkan” kepada emosi anak. Jika ibu bapa sendiri kelihatan cemas atau terlalu dramatik ketika bercakap tentang bersunat, anak akan lebih mudah merasa takut.
Gurauan Orang Dewasa, Memberi Tekanan Emosi
Dalam budaya masyarakat kita, mengusik kanak-kanak yang bakal bersunat dianggap perkara biasa. Ada yang sengaja menakutkan anak sebagai bahan hiburan keluarga. Namun apa yang ramai tidak sedar ialah gurauan seperti ini boleh memberi tekanan emosi kepada kanak-kanak.
Bagi orang dewasa, ia mungkin sekadar jenaka. Tetapi bagi kanak-kanak, komunikasi tersebut diterima secara literal dan serius. Mereka belum mempunyai tahap kematangan emosi untuk membezakan gurauan dan ancaman sosial.
Pengalaman bersunat sebenarnya boleh menjadi pengalaman komunikasi trauma jika emosi anak tidak dijaga dengan baik. Trauma bukan hanya berlaku kerana kesakitan fizikal, tetapi juga kerana rasa malu, dipermainkan atau dipaksa tanpa empati.
Pengaruh Media Sosial
Dulu, cerita bersunat hanya berlaku dalam ruang keluarga atau kampung. Hari ini, media sosial telah mengubah pengalaman itu menjadi kandungan hiburan digital. Video anak menangis, menjerit atau melarikan diri sering dimuat naik untuk mendapatkan tontonan dan reaksi netizen.
Apa yang masyarakat tidak sedar ialah kanak-kanak generasi hari ini membesar dalam budaya “fear exposure” digital. Mereka melihat pengalaman orang lain terlebih dahulu sebelum mengalami sendiri sesuatu perkara. Ini menyebabkan ketakutan mereka menjadi lebih kompleks kerana dibentuk oleh algoritma media sosial.
Secara tidak langsung, komunikasi digital moden telah mengubah pengalaman bersunat daripada pengalaman budaya kepada pengalaman media.
Bersunat Mengajar Anak Tentang Kepercayaan
Satu lagi perkara yang jarang dibincangkan ialah pengalaman bersunat sebenarnya menjadi titik awal pembentukan kepercayaan anak terhadap dunia perubatan dan orang dewasa.
Jika komunikasi sepanjang proses itu penuh sokongan, empati dan penjelasan yang baik, anak akan belajar bahawa ketakutan boleh dihadapi dengan tenang. Tetapi jika mereka dipaksa, dipermalukan atau diketawakan, mereka mungkin membina rasa takut terhadap rawatan kesihatan pada masa depan.
Dalam komunikasi keluarga moden, ibu bapa bukan sekadar perlu menyediakan anak secara fizikal, tetapi juga perlu menjadi “pengurus emosi” kepada anak-anak.
Komunikasi Kecil Memberi Impak Besar
Musim bersunat mungkin kelihatan biasa dalam masyarakat Malaysia, tetapi sebenarnya ia memperlihatkan bagaimana komunikasi mampu membentuk pengalaman manusia sejak kecil.
Cara kita bercakap, bergurau dan memberi sokongan akan menentukan sama ada seorang anak mengingati pengalaman itu sebagai keberanian yang membanggakan atau trauma yang memalukan.
Kadangkala, perkara yang paling memberi kesan kepada kanak-kanak bukanlah prosedur bersunat itu sendiri, tetapi kata-kata yang mereka dengar sebelum dan selepas proses tersebut.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Miharaini Md Ghani
Pensyarah Komunikasi Digital
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
E-mel: miharaini@usm.my