(Foto Fail)
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Ekonomi Malaysia kekal di landasan pertumbuhan yang stabil, meskipun terkesan dengan perkembangan global yang penuh cabaran sejak pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan tinjauan ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan berkata kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia dan keutuhan asas yang dibina telah meningkatkan daya tahan, sekali gus menempatkan negara di landasan pertumbuhan stabil.
Jelsanya, walaupun berdepan kelembapan ekonomi global, namun Malaysia berjaya merekodkan pertumbuhan 4.2% pada separuh pertama 2023 dan dijangka mencatat sekitar 4% bagi keseluruhan tahun ini.
Pertumbuhan ekonomi tempatan semakin didorong oleh permintaan domestik dengan inflasi negara kekal terkawal, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, rizab asing kukuh dan lebihan akaun semasa.
Selain itu, tabungan negara yang tinggi, kepesatan sektor kewangan dan pasaran modal yang teguh turut mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Kerajaan katanya akan terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kemampanan fiskal negara secara progresif dengan mempelbagaikan sumber hasil serta mengoptimumkan perbelanjaan bagi menangani ketirisan dan pembaziran.
Tahun 2024 dijangka akan menjadi tahun penuh harapan bagi Malaysia, melalui pelaksanaan beberapa dasar yang telah diumumkan termasuk pelaksanaan projek bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMke-12).
Melalui kerangka Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat yang dibangunkan, kerajaan juga komited dalam memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil kekayaan dan kemakmuran negara melalui pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Kerangka ini akan menjadi asas kepada dasar-dasar yang baru diumumkan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta KSP RMke-12.
Pelaksanaan inisiatif ini dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang diunjurkan iaitu antara 4% hingga 5% pada tahun 2024.
(Foto Fail)