Enam PATI termasuk kanak-kanak bayar 5,000 baht cuba seludup masuk Malaysia

Enam warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui bersembunyi di kawasan semak di Pasir Mas/Foto PGA

PASIR MAS, 23 Mei – Enam warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipercayai membayar 5,000 Baht setiap seorang (kira-kira RM600) untuk memasuki negara ini secara haram bagi bekerja di sekitar Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA menahan beberapa individu dalam tiga serbuan berasingan di Pengkalan Haram Kuala Senggeng, Kampung Tok Rusa dan Meranti.
  • Tangkapan dibuat antara pukul 2.30 hingga 4 petang selepas mengesan mereka di tebing sungai dan kawasan semak berhampiran pangkalan haram.
  • Pemeriksaan mendapati semua gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit sah memasuki negara.
  • Siasatan awal mendapati mereka masuk melalui laluan tidak diwartakan dari Thailand, dibawa oleh seorang tempatan dikenali sebagai 'Mudo'.

Kesemua mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tiga serbuan berasingan di Pengkalan Haram Kuala Senggeng, Kampung Tok Rusa, Meranti pada Sabtu.

Tangkapan dilakukan antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang selepas mengesan kesemua berada dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai dan kawasan semak berhampiran pangkalan haram berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga wanita warga Myanmar berusia 19 hingga 29 tahun.

Katanya, tangkapan kedua pula melibatkan dua lelaki warga Myanmar berusia 23 dan 33 tahun sebelum seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditahan dalam serbuan ketiga.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah memasuki negara ini.

“Siasatan awal mendapati semua PATI terbabit masuk ke negara ini dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan sebelum dibawa masuk oleh seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Mudo’ yang dipercayai aktif di sekitar Kampung Tok Rusa,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, mereka dipercayai berurusan dengan seorang lelaki warga Thailand dan perlu membayar 5,000 Baht sebelum dijemput individu dikenali sebagai “Mudo” di kawasan pangkalan haram terbabit.

Katanya, semua tahanan memaklumkan tujuan memasuki negara ini adalah untuk bekerja di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua tahanan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua tahanan negatif dadah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.