fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS, dijangka terus meningkat sehingga akhir tahun

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 17 Julai- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, mengukuhkan jangkaan yang mata wang tempatan akan mencecah 4.50 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada pukul 6.00 petang, ringgit meningkat kepada 4.6625/6660 berbanding dolar AS daripada 4.6745/6790 ketika ditutup semalam.

“Jangkaan pengurangan kadar faedah tidak lama lagi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) nampaknya menguasai sentimen pasaran. Data ekonomi yang suram dan trend disinflasi yang berterusan telah menjadikan pelonggaran monetari oleh Fed lebih menarik, membawa kepada dolar AS yang lebih lemah,” katanya kepada Bernama.

Indeks Dolar AS (DXY) turun kepada 103.796, susut sebanyak 0.45 peratus.

“Ada kemungkinan kami menyemak semula sasaran akhir tahun semasa iaitu RM4.65. Pada awalnya, semasa suku pertama tahun ini, kami menyasarkan RM4.50 jadi kami mungkin menyemak semula sasaran itu susulan perkembangan positif,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, mata wang pasaran yang sedang pesat membangun telah mencatatkan prestasi yang baik sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) pada akhir bulan ini.

“Kemungkinan pengurangan kadar pada September telah meningkat dengan ketara, yang menjadikan mesyuarat FOMC pada Julai penting kerana ahli Fed mungkin lebih jelas dalam memberikan isyarat hasrat mereka untuk melonggarkan dasar monetari pada September,” katanya.

Ringgit susut berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 2.9809/9834 daripada 2.9503/9534 ketika ditutup pada Selasa, dan rendah berbanding pound British kepada 6.0813/0859 daripada 6.0614/0673.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.1022/1060 daripada 5.0938/0987.

Mata wang tempatan didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4810/4839 daripada 3.4783/4819 ketika ditutup pada Selasa, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.5/289.9 daripada 288.8/289.3.

Mata wang tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9918/13.0070 from 12.9459/9634 namun, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.99/8.00 daripada 8.00/8.01 semalam. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA