fb fb fb fb fb

Pasaran hartanah berkembang positif suku ketiga 2023

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 November - Aktiviti pasaran hartanah berkembang positif pada suku ketiga tahun ini, dengan merekodkan 108,955 transaksi bernilai RM57.15 bilion.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata sebahagian besar angka itu disumbangkan subsektor kediaman dengan 68,561 transaksi bernilai lebih RM28 bilion.

Katanya, kediaman teres masih menjadi pilihan pembeli, merekodkan 29,755 transaksi, bersamaan 43.4 peratus dari keseluruhan transaksi kediaman.

"Manakala kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih lagi mendominasi aktiviti pasaran, dengan merekodkan 52.4 peratus atau hampir 36,000 transaksi, diikuti kediaman berharga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 24.7 peratus (16,947 transaksi) dan selebihnya merupakan unit berharga RM500,001 ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena dengan penerbitan pasaran harta tanah suku ketiga 2023 dan pelancaran Data Transaksi Terbuka Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara dalam talian.

Tambah Abdul Razak, situasi hartanah tidak terjual turut bertambah baik pada suku sama.

Katanya, 25,000 unit kediaman tidak terjual bernilai RM17.4 bilion direkodkan, susut 3.7 peratus dan 4.9 peratus dari segi bilangan dan nilai, berbanding suku sebelumnya.

"Sementara itu, pasaran hartanah dijangka kekal optimistik dan berhati-hati dengan prospek tenaga kerja sektor pembinaan dan kenaikan harga bahan binaan bakal mempengaruhi penawaran hartanah," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN