fb fb fb fb fb

Operasi BNM bantu kadar antara bank jangka pendek kekal stabil

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 30 November- Kadar antara bank jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional dianggarkan RM41.51 bilion dan sejumlah RM31.15 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat itu akan menjalankan dua tender pasaran wang konvensional, terdiri daripada tender RM1 bilion selama tujuh hari dan tender RM500 juta bertempoh 14 hari.

Ia turut mengadakan dua tender repo berbalik iaitu RM1 bilion bagi jangka masa 29 dan 91 hari, serta dua tender Qard yang terdiri daripada tender RM600 juta (tujuh hari) dan tender RM100 juta (14 hari).

Selain itu, BNM mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah komoditi bercagar untuk tempoh satu dan tiga bulan.

Pada pukul 4.00 petang, bank pusat akan menawarkan tender semalaman konvensional bernilai sehingga RM42.0 bilion dan tender semalaman Murabahah sebanyak RM30.5 bilion.- BERNAMA

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM