fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan rendah minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan, dengan harga emas dijangka kembali pada sekitar AS$2,350 setiap auns troy minggu depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga logam berharga itu dijangka merosot selepas prestasi yang menggalakkan baru-baru ini.

“Potensi kenaikan seterusnya dilihat terhad dan ia akan bergantung kepada prestasi hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun berdasarkan hubungan pembolehubah makroekonomi dengan harga emas,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Jun 2024 naik kepada US$2,367.30 setiap auns troy daripada AS$2,322.40 setiap auns troy minggu lepas dan Julai 2024 mengukuh kepada AS$2,374.10 setiap auns troy daripada AS$2,329.20 setiap auns troy sebelum ini.

Kontrak Ogos 2024, September 2024, Oktober 2024 dan Disember 2024, masing-masing naik kepada US$2,390.10 setiap auns troy daripada AS$2,344.80 setiap auns troy pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas di pasaran tempatan merosot kepada 64 lot daripada 78 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menambah kepada 40 kontrak daripada 25 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga emas fizikal sebanyak AS$2,351.60 setiap auns troy, menurut London Bullion Market Association pada 20 Jun. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA