KUALA LUMPUR, 30 September – Kerajaan komited untuk meningkatkan standard tadbir urus dengan kerjasama Jabatan Audit Negara yang sedang melaksanakan pelbagai projek transformasi.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata projek transformasi ini menekankan kepentingan pendigitalan, audit berasaskan risiko dan kerjasama tadbir urus yang lebih baik.
“Salah satu langkah penting dalam transformasi ini adalah pindaan baru-baru ini kepada Akta Audit 1957, yang memperluas kuasa pengawasan Ketua Audit Negara.
"Ini membolehkan penelitian lebih mendalam terhadap perbelanjaan awam dan mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kerajaan,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Kebangsaan Institut Juruaudit Dalaman 2024, di sini.
Tambah Hui Ying, masa depan tadbir urus bergantung kepada kerjasama antara badan kerajaan, organisasi swasta dan audit profesional untuk membina model tadbir urus yang lebih fleksibel, bertanggungjawab serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.