PKNS Robotic Challenge perkasa bakat STEM, cetus budaya inovasi

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 16 Ogos – Pertandingan robotik, PKNS Robotic Challenge 2026 menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas berkata, inovasi memainkan peranan yang sangat penting dalam keseluruhan pembangunan bangsa dan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inovasi mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata dan dilaksanakan dalam projek, bukan sekadar logo atau moto.
  • Pendedahan awal kepada robotik diperlukan untuk kembangkan kemahiran teknikal, pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah secara praktikal.
  • Pertandingan Battle Soccerbot memberi pengalaman praktikal dalam automasi, pengaturcaraan dan pencetakan 3D sambil memperkukuh ekosistem pendidikan STEM.

Sehubungan itu, inovasi perlu diterjemahkan kepada bentuk yang dapat dilihat dan dilaksanakan di lapangan.

Pendekatan itu penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja dapat menguasai teknologi, malah mampu menghasilkan inovasi yang dapat memberikan manfaat serta kekal berdaya saing pada masa hadapan.

“Inovasi perlu lebih daripada itu. Inovasi mesti diterjemahkan dalam bentuk yang nyata dan dilaksanakan dalam bangunan serta projek kita. Jadi, inovasi perlu melangkaui sekadar menghasilkan logo atau moto. Inovasi mesti dapat dilihat dan dilaksanakan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup PKNS Robotic Challenge 2026 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Pembudayaan Sains, Teknologi & Inovasi (STI), Infrastruktur Digital Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Datuk Mahmud turut berharap, pertandingan robotik itu berkembang daripada sekadar program hujung minggu kepada platform yang lebih menyeluruh, termasuk menggalakkan pelajar mereka bentuk dan menghasilkan robot di sekolah.

“Saya berharap suatu hari nanti robot boleh direka dan dibangunkan di sekolah dan dibawa ke sini untuk bermain bola sepak atau menyertai pertandingan gusti. Itulah yang perlu kita capai.

“Kita perlu mewujudkan sesuatu yang memberi manfaat kepada generasi muda, membolehkan mereka bersaing dan menjadi antara yang terbaik dalam bidang inovasi di dunia,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohammad Fahmi berkata, penguasaan inovasi kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan generasi muda kekal berdaya saing dalam perkembangan teknologi global.

Menurut beliau, pengalaman melihat pelajar sekolah rendah di China membina dan memprogram robot tiga tahun lalu memberi gambaran tentang tahap penguasaan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara berkenaan.

“Budak-budak sekolah rendah di sana telah belajar bagaimana untuk membina robot tersebut, termasuk bahagian pengaturcaraan robot itu sendiri.

“Apa yang mereka programkan? Bukan sekadar membolehkan robot itu berdiri, duduk, bergerak ke hadapan atau mengundur, tetapi mereka turut memprogram robot itu untuk melancarkan projektil ke sasaran tertentu. Mereka membangunkan algoritma penentuan sasaran untuk robot itu. Budak sekolah rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pendedahan awal kepada bidang robotik perlu diperkukuh bagi membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran teknikal, pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah secara praktikal.

Berlangsung selama dua hari di SACC Mall, PKNS Robotic Challenge 2026 yang berkonsepkan Battle Soccerbot Challenge menguji keupayaan peserta mereka bentuk, membangunkan dan mengendalikan robot menggunakan teknologi automasi, pengaturcaraan serta pencetakan tiga dimensi (3D).

Pendekatan itu bukan sahaja memberi pengalaman praktikal kepada peserta, malah menyokong usaha PKNS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, teknologi dan inovasi serta pembangunan bakat STEM di Selangor.

Seramai 48 pelajar daripada 12 sekolah menengah di Selangor menyertai pertandingan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.