
SHAH ALAM, 16 Ogos – Pingat emas pada penampilan terakhir di Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi kenangan manis buat atlet taekwondo Pahang, Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Kyorugi lelaki bawah 68 kilogram (kg) pada SUKMA Selangor 2026.
- Menewaskan wakil Sarawak Joseph Wong, 2-0 (16-2, 18-13) pada perlawanan akhir di Ideal Convention Centre.
- Kemenangan itu mengulangi pencapaian SUKMA Sarawak dua tahun lalu, menewaskan lawan yang sama.
- Putera Arsyad hargai usaha jurulatih, akui tekanan sebagai atlet Program Pelapis Kebangsaan dan mahu fokus kejohanan antarabangsa serta Sukan SEA 2027.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Ideal Convention Centre, di sini, dia menewaskan wakil Sarawak, Joseph Wong dengan kiraan 2-0 (16-2, 18-13).
Kemenangan itu sekali gus mengulangi pencapaian di SUKMA Sarawak dua tahun lalu yang menyaksikan dia menewaskan lawan yang sama.
Dia berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan itu hasil kerja keras bersama jurulatih yang membimbingnya sejak awal penglibatan dalam sukan taekwondo.
“Saya rasa sangat gembira. Daripada kosong saya berlatih dengan jurulatih, sehinggalah berjaya meraih dua kali pingat emas.
“Memang ada tekanan buat saya kerana berstatus atlet program pelapis kebangsaan, tanggungjawab itu menuntut saya untuk menang pada penampilan terakhir saya di SUKMA ini,” katanya ketika di temui selepas tamat aksi akhir disini.
Dalam pada itu dia yang ini berada dalam Program Pelapis Kebangsaan kini mahu mengalihkan fokus kepada kejohanan antarabangsa selain melayakkan diri ke Sukan SEA 2027.
“Sasaran saya selepas ini adalah untuk layak ke Sukan SEA. Buat masa ini, saya akan fokus kepada kejohanan tahun ini terlebih dahulu sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persediaan Sukan SEA tahun hadapan,” tambahnya.