Piala ASEAN 2026 : Harimau Malaya masih ada ‘peluang’ pada aksi timbal balik – Cheng Hoe

Cheng Hoe tetap positif dengan keupayaan skuad negara untuk bangkit semula pada aksi timbal balik, Rabu ini

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kekalahan 0-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 tidak mematahkan keyakinan pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang tetap berbangga dengan semangat juang serta komitmen anak buahnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cheng Hoe bangga dengan semangat juang dan komitmen pemain meskipun keputusan mengecewakan.
  • Pasukan mencipta beberapa peluang awal dan mengawal permainan selepas rehat tetapi gagal menamatkan serangan.
  • Beliau tetap positif tentang kebangkitan pada aksi timbal balik walaupun menghadapi tekanan di gelanggang lawan.

Walaupun mengakui keputusan berkenaan ‘mengecewakan’, namun Cheng Hoe menyifatkan barisan pemain negara telah memberi aksi terbaik dalam usaha menyaingi juara bertahan itu.

Beliau menyatakan Harimau Malaya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan pada separuh masa pertama, selain berjaya mengawal permainan dengan baik selepas rehat.

Bagaimanapun, dua kesilapan kecil menyaksikan Vietnam memanfaatkan peluang untuk membawa bekalan selesa dua gol menjelang aksi timbal balik.

“Kami tahu Vietnam akan memberikan cabaran sukar kerana mereka menurunkan pasukan terbaik.

“Sebagai jurulatih, saya tetap bangga dengan pemain kerana mereka menunjukkan keyakinan dan komitmen sepanjang perlawanan, walaupun saya ‘kecewa’ dengan keputusan ini.

“Pada babak pertama, kami mencipta dua peluang tetapi gagal menyudahkannya, walaupun pasukan berjaya mengawal permainan dengan baik pada babak kedua, namun jaringan sendiri untuk gol kedua benar-benar menjejaskan kami,” katanya.

Beliau dalam masa sama, tetap positif untuk skuad negara bangkit pada aksi timbal balik, Rabu ini walaupun bakal berdepan cabaran di hadapan penyokong tuan rumah.

Sementara itu, pengendali Vietnam, Kim Sang Sik berkata, walaupun juara bertahan itu membawa bekalan dua gol ke Hanoi, kemenangan berkenaan tidak hadir dengan mudah dengan skuad Harimau Malaya memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Pemain-pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan persekitaran stadium, selain berdepan beberapa kesukaran dari sudut taktikal.

“Perlawanan malam ini, sangat sukar kerana bukan perlawanan yang mudah dan saya bagaimanapun sangat gembira kami berjaya menang 2-0 dan tahniah kepada semua pemain serta penyokong yang hadir.

“Kemenangan 2-0 ini juga keputusan yang baik, tetapi keadaan padang dan usaha untuk menyesuaikan diri dengan situasi di stadium bukan sesuatu yang mudah.

“Kami juga berdepan beberapa kesukaran dari segi taktikal sepanjang perlawanan dan akan terus membuat persiapan untuk aksi timbal balik,”katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam tadi, Vietnam membuka jaringan menerusi Nguyen Xuan Son pada penghujung babak pertama.

Malaysia kemudian dikejutkan dengan jaringan sendiri Muhammad Faris Danish Asrul pada minit ke-85 selepas tertampan hantaran Nguyen Quang Hai ke gawang sendiri.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya berdepan tugas getir pada aksi separuh akhir kedua di Hanoi Rabu ini dengan perlu mengatasi defisit dua gol bagi menghidupkan peluang mara ke final.

Malaysia kali terakhir mara ke final Piala ASEAN pada 2018, ketika Cheng Hoe turut membimbing skuad kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.