Piala ASEAN 2026 : Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Vietnam

Malaysia perlu cipta kemenangan untuk atasi defisit dan tempah tiket ke final Piala ASEAN 2026 / Foto Sportfive

KUALA LUMPUR, 17 Ogos Harimau Malaya berdepan tugas getir untuk melangkah ke final Piala ASEAN 2026 selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia perlu menang dengan selisih sekurang-kurangnya tiga gol di Hanoi untuk layak ke final Piala ASEAN 2026.
  • Nguyen Xuan Son menjaringkan gol pada penghujung babak pertama memecah kebuntuan.
  • Pada minit ke-85, kesilapan Faris Danish menyebabkan hantaran Nguyen Quang Hai masuk gol sendiri, menggandakan kelebihan Vietnam.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe perlu bangkit pada aksi timbal balik di Hanoi, Rabu ini bagi memburu tiket ke final buat julung kali sejak 2018.

Malaysia bermula baik dan berjaya mengimbangi permainan Vietnam pada babak pertama, selain mencipta beberapa peluang untuk membuka jaringan, namun buntu mencari penyudah.

Vietnam bagaimanapun, berjaya memecah kebuntuan pada penghujung babak pertama menerusi tandukan Nguyen Xuan Son yang menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani.

Bersambung babak kedua, Malaysia meningkatkan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan namun, benteng Vietnam kekal bertahan daripada tekanan skuad negara.

Vietnam kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-85 selepas Faris Danish melakukan kesilapan apabila tertampan hantaran Nguyen Quang Hai ke gawang sendiri.

Kedudukan 0-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberi Vietnam kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik di Hanoi.

Malaysia kini perlu mencipta kemenangan sekurang-kurangnya tiga gol di laman lawan untuk mengatasi defisit dan menempah tiket ke final Piala ASEAN 2026.

Kali terakhir Malaysia mara ke final adalah pada 2018, ketika skuad negara turut dibimbing Tan Cheng Hoe.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.