fb fb fb fb fb

Industri pengurusan kekayaan Islam perlu sedia terima inovasi, patuhi piawaian Islam

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Industri pengurusan kekayaan Islam perlu bersedia untuk berkembang seiring keperluan pasaran dan trend baru muncul.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata untuk terus kekal berdaya saing dan relevan, industri seharusnya menerima inovasi dan mematuhi piawaian berpandukan nilai Islam.

"Pengamal pengurusan kekayaan Islam boleh memanfaatkan kuasa teknologi untuk mengoptimumkan perkhidmatan mereka, dengan menerima penyelesaian digital, mereka boleh terus, menjadi peneraju dan menawarkan nilai lebih tinggi kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) ke-11 mengenai pengurusan kekayaan dan perancangan kewangan syariah, di sini pada Khamis.

Tambah Awang Adek, aplikasi mudah alih dan portal dalam talian yang dibangunkan oleh firma-firma teknologi kewangan boleh menyediakan pelanggan akses yang komprehensif kepada portfolio pelaburan sebenar, tinjauan pasaran dalam masa nyata dan nasihat kewangan yang diperibadikan.

Beliau turut memaklumkan, SC telah menerajui usaha untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia dan memudahkan inovasi bagi menggalakkan pertumbuhan pengurusan kekayaan Islam di Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN