fb fb fb fb fb

FBM KLCI dijangka pada 1,610-1,630 dengan kecenderungan meningkat minggu depan

Indeks Komposit (CI) Bursa Malaysia dijangka berada dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, bergerak dalam julat 1,610-1,630 mata / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Indeks Komposit (CI) Bursa Malaysia dijangka berada dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, bergerak dalam julat 1,610-1,630 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng menjangka minat belian yang berterusan, didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada September.

“Sentimen ini mewujudkan jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat. Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung dijangka pada paras 1,620-1,630, yang boleh mengehadkan sebarang pergerakan meningkat yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Sektor utama yang perlu diberikan perhatian termasuklah utiliti dan bank, yang minat pelabur dijangka kukuh.

“Walaupun terdapat potensi untuk aktiviti pengambilan untung, momentum belian secara keseluruhannya kekal utuh, menunjukkan prestasi yang stabil untuk indeks dalam julat tersebut.

“Pelabur dinasihatkan untuk memantau sektor-sektor ini dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai petunjuk ekonomi global, terutamanya daripada AS, yang akan mempengaruhi pergerakan pasaran,” katanya.

Pada minggu ini, Bursa Malaysia mencatatkan turun naik tetapi ditutup tinggi secara keseluruhannya. Pada Selasa, pasaran meningkat semula lebih satu peratus berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah susulan jualan pada minggu sebelumnya.

Walaupun indeks utama merosot berikutan aktiviti pengambilan untung, ia kekal melebihi paras psikologi 1,600.

Pasaran menyaksikan keuntungan daripada aktiviti belian saham pada harga rendah dan mengakhiri minggu ini dengan kukuh, didorong oleh sentimen pelabur yang positif dan minat belian yang tinggi dalam saham berkaitan komoditi.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 21.18 mata kepada 1,617.86 daripada 1,596.68 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 195.34 mata kepada 12,356.86, Indeks FBM 70 melonjak 313.34 mata kepada 17,794.88 dan Indeks FBMT 100 meningkat 170.80 mata kepada 11,940.46.

Indeks FBM Emas Shariah naik 261.17 mata kepada 12,653.53 dan Indeks FBM ACE menambah 187.75 mata kepada 5,577.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 116.05 mata kepada 17,642.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.79 mata kepada 197.65, Indeks Tenaga meningkat 1.87 mata kepada 969.23 dan Indeks Perladangan menokok 73.93 mata kepada 7,145.33.

Indeks Penjagaan Kesihatan naik 101.81 mata kepada 2,191.07 dan Indeks Teknologi meningkat 2.45 mata kepada 75.13.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan merosot kepada 19.82 bilion unit bernilai RM15.89 bilion daripada 26.03 bilion unit bernilai RM22.25 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 11.84 bilion saham bernilai RM13.87 bilion daripada 15.21 bilion saham bernilai RM18.61 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.80 bilion unit bernilai RM471.06 juta daripada 5.95 bilion unit bernilai RM837.01 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 4.17 bilion saham bernilai RM1.54 bilion daripada 4.81 bilion saham bernilai RM1.68 bilion sebelum ini.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN