fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki sentimen lemah serantau

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu sejajar dengan sentimen lemah di bursa serantau berikutan kebimbangan yang timbul terhadap ketegangan geopolitik Asia Barat, kata penganalisis.

Pada pukul 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.68 mata kepada 1,644.71 daripada 1,656.39 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 13.61 mata lebih rendah kepada 1,642.78.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 421 berbanding 107, manakala 304 kaunter kekal tidak berubah, 1,578 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan 229.76 juta unit bernilai RM149.30 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya menjangkakan tekanan jualan semalaman di Wall Street mungkin mempengaruhi pasaran tempatan, mengehadkan kenaikan dalam tempoh terdekat.

“Saham Amerika Syarikat mengalami penyusutan, sebahagiannya disebabkan oleh serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, yang mendorong ketegangan di Asia Barat. Peristiwa penting yang akan dipantau pelabur termasuk senarai gaji bukan ladang dan tuntutan pengangguran.

“Pada Oktober, kami yakin pelabur mungkin memberi tumpuan kepada sektor pembinaan, hartanah dan utiliti menjelang Belanjawan 2025 Malaysia selain mengikuti berita berpotensi mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura,” tambahnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun 6.0 sen kepada RM10.48, Public Bank susut 5.0 sen kepada RM4.56, CIMB Group kurang 10 sen kepada RM7.90, Tenaga Nasional menguncup 8.0 sen kepada RM14.32, manakala IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM7.28.

Bagi kaunter aktif, PA Resources menambah 1.5 sen kepada 34 sen, Capital A menokok 1.0 sen kepada 99 sen, TWL Holdings naik setengah sen kepada 3.0 sen, sementara Leong Hup kekal pada 74.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 84.08 mata kepada 12,310.88, manakala Indeks FBM Emas Shariah kurang 74.75 mata kepada 12,243.29.

Indeks FBMT 100 susut 86.07 mata kepada 12,000.89, Indeks FBM 70 merosot 127.85 mata kepada 17,405.04, dan Indeks FBM ACE turun 51.05 mata kepada 5,162.25.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 145.48 mata kepada 19,250.54, Indeks Tenaga meningkat 5.48 mata kepada 848.08, Indeks Perladangan turun 10.15 mata kepada 7,179.14, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.12 mata kepada 177.97. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA