(Penunjuk perasaan memegang sepanduk dan bendera Kesatuan Eropah dan Ukraine semasa protes terhadap operasi ketenteraan Rusia di Ukraine/AFP)
COPENHAGEN, 26 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangat bimbang mengenai nasib orang awam di Ukraine berikutan pencerobohan tentera Rusia, kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge.
"Saya amat bimbang mengenai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang awam di Ukraine. Saya juga bimbang kemajuan ketara yang dibuat dalam mengukuhkan sistem kesihatan di Ukraine dalam beberapa tahun kebelakangan ini boleh terjejas.
"Risiko kesihatan serta-merta berkaitan dengan kematian, kerana kami menerima laporan pertempuran dan tembakan dari seluruh negara. Hospital akan memerlukan bekalan kecemasan segera, termasuk ubat-ubatan dan kit pembedahan serta kes trauma," katanya.
Pada masa ini, WHO sedang menyediakan kit perubatan pembedahan di Dubai untuk dihantar ke Ukraine, melalui Poland.
Presiden Rusia, Vladimir Putin Khamis lalu mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ukraine.
Pencerobohan itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.
(Penunjuk perasaan memegang bendera kebangsaan Ukraine di sebelah seorang peserta yang membawa sepanduk bertulis membantah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/AFP)
Pada Jumaat, tentera Ukraine bertempur dengan tentera Rusia di ibu kota Kiev.
Kluge berkata, WHO menggerakkan ketiga-tiga peringkat organisasinya untuk menyokong krisis kemanusiaan yang berlaku dengan cepat.
"Pasukan global, serantau dan negara lain diselaraskan untuk menyampaikan sokongan kesihatan ke Ukraine dan negara sekitarnya," katanya.
Beliau menambah, keutamaan WHO di Ukraine sudah beralih kepada penyediaan perkhidmatan kecemasan, penjagaan trauma, memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, penyediaan khidmat kesihatan mental dan sokongan psiko-sosial.
Bagaimanapun, katanya ubat-ubatan dan vaksin masih diperlukan dan WHO sedang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi lain untuk memastikan koridor kemanusiaan dapat disediakan bagi membantu menyelamatkan nyawa.
Agensi kesihatan PBB mempunyai lebih 100 kakitangan di seluruh negara, walaupun ada yang terpaksa mencari perlindungan -AFP.